MOHD Azman Salim menganggap tanpa sebelah kaki bukan halangan mengundi di Sekolah  Menengah Kebangsaan Bukit Baru. FOTO Nazri Abu Bakar
MOHD Azman Salim menganggap tanpa sebelah kaki bukan halangan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kudung sebelah kaki tidak menghalang Mohd Azman Salim, 55, menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Mohd Azmin yang kehilangan kaki kanan akibat kencing manis berkerusi roda mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, Bukit Beruang bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Katil.

"Walaupun uzur kerana menghidap kencing manis dan darah tinggi, saya menganggap satu undi amat penting untuk generasi masa depan negara.

"Saya juga bersyukur, isteri, Juriah Bidin, meluangkan masa untuk menghantar ke pusat pengundian kerana saya tidak boleh memandu. Proses pengundian juga berjalan lancar dan sistematik," katanya yang tinggal di Taman Limbongan Permai.

Mohd Azmin berkata, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga memberi kerjasama yang amat baik dan membantunya serta pengundi lain untuk melaksanakan tanggungjawab.

"Orang ramai yang mematuhi SOP sambil dipantau petugas SPR memberi keyakinan kepada penduduk untuk keluar mengundi.

"Walaupun dengan norma baharu, orang ramai dilihat tidak janggal untuk mengundi kerana pengendalian yang lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 1:58 PM