KOMPLEKS Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor daripada dua pertuduhan menerima suapan bernilai RM6,200 empat tahun lepas.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu terhadap Kalvinder Singh, 36, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Kalvinder Singh yang ketika itu bertugas di bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, didakwa menerima suapan daripada Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzini, yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM1,200 dan RM5,000 dipercayai bagi menyelesaikan kes rokok seludup, pada 11.30 malam hingga 2 pagi pada 8 Mac hingga 9 Mac 2019 ketika bertugas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat.

Sepanjang perbicaraan seramai 21 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 4:09 PM