Seorang inspektor polis dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada pertuduhan meminta suapan wang tunai RM40,000 daripada seorang peniaga, dua tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail memutuskan demikian terhadap K Raviindran, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan itu, Raviindran didakwa meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada seorang peniaga Dhalgit Singh Mahinder Singh, 31, melalui panggilan telefon milik K Manimaran sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran yang ditahan atas kesalahan dadah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.15 malam dan 10.15 malam, di Kepong, di sini pada 4 Jun 2013, dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:37 AM