TAN Sri Muhyiddin Yassin.
TAN Sri Muhyiddin Yassin.
Ahmad Suhael Adnan


Jasin: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan calon Ketua Menteri Melaka bagi gabungan itu adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, calon Ketua Menteri dipilih daripada Bersatu kerana parti itu memiliki calon paling ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding calon parti komponen PN yang lain.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu itu belum mendedahkan nama individu terbabit dan hanya akan mengumumkan calon Ketua Menteri PN 'tidak lama lagi'.

"Calon Ketua Menteri Melaka bagi PN akan diumumkan tidak berapa lama lagi, sudah pasti sebelum hari mengundi.

"Sewajarnya Bersatu ada sejumlah kerusi yang besar (sebagai calon PRN Melaka) dan kita diberikan kepercayaan oleh Pas dan Gerakan.

"Jadi, calon Ketua Menteri itu akan datang daripada Bersatu, itu yang saya boleh maklumkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah mengumumkan calon Ketua Menteri Melaka masing-masing jika menang dalam PRN pada 20 November ini.

BN menamakan calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, manakala PH pula bersetuju menamakan semula bekas Ketua Menteri yang juga calon Dun Bukit Katil, Adly Zahari.

Ditanya mengenai PN mengambil tempoh lama untuk mengumumkan calon Ketua Menteri, Muhyiddin menegaskan, ia antara strategi gabungan itu dalam berdepan PRN Melaka.

"Itu strategi kita, tak semestinya umum (calon Ketua Menteri) awal, tetapi tak umum langsung pun tak boleh.

"Semestinya ada calon daripada PN. Ramai yang layak menjadi Ketua Menteri (daripada PN), jadi tiada masalah pada kita," katanya memaklumkan calon itu sudah diputuskan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, manifesto PN untuk PRN Melaka yang bakal diumumkan pada Ahad ini bukan sekadar 'janji bulan dan matahari'.

Bagi memastikan manifesto itu ditunaikan, katanya, PN merancang menubuhkan satu badan pemantau yang bertanggungjawab meneliti kemajuan pelaksanaan manifesto terbabit.

"Kita bukan PH. Dulu PH janjikan bulan dan matahari, tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu kata manifesto tak semestinya kena ikut.

"Kita tak boleh berbohong pada rakyat. Bila janji, ia perlu ditunaikan, itu tuntutan agama. Saya rasa pengundi Melaka lebih yakin kerajaan yang kita bentuk adalah sebuah kerajaan yang boleh dipercayai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 7:24 PM