SEBAGAI satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.
SEBAGAI satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Peruntukan RM10 juta bagi memudahkan proses pendaftaran dan memperluas program pemutihan taska dan pusat jagaan kanak-kanak belum berdaftar di seluruh negara membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada golongan wanita.

Suri rumah, Rosnani Abd Rahman, 44, berkata, insiatif berkenaan dapat membantu golongan sepertinya menjana pendapatan sendiri dengan menceburi bidang penjagaan awal kanak-kanak.

"Baguslah kalau betul prosedur pendaftaran dipermudahkan, saya orang pertama akan mendaftar untuk penjagaan taska di rumah.

"Kalau berdaftar, sudah tentu ibu bapa pun yakin dan rasa selamat untuk hantar anak mereka selain dapat buat tuntutan potongan cukai.

"Inisiatif ini juga akan menggalakkan lebih ramai golongan wanita menjana pendapatan dan boleh bantu keluarga kerana kalau nak buat kerja lain macam berniaga kuih memang memerlukan modal besar dan risiko tidak laku," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan insiatif kerajaan yang dapat menyokong dan menambah baik kualiti perkhidmatan dalam industri ini.

"Kalau peruntukan ini dapat membantu mempermudahkan pendaftaran taska maka ia sudah tentu dapat membantu pengusaha yang baru berjinak-jinak mahu membuka taska dan ini juga satu peluang yang baik untuk wanita di luar sana bekerja.

"Pada masa sama, ibu bapa lebih yakin menghantar anak-anak mereka ke taska yang berdaftar kerana segalanya perlu mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berharap, pelaksanaan insiatif itu dilakukan secara telus dan dipantau supaya peruntukan dikeluarkan kerajaan benar-benar mencapai objektif menggalakkan wanita menceburi industri ini.

"Pastikan ia telus dan perincikan lagi mekanisme berkaitan dengan pendaftaran sama ada secara langsung atau tidak atau untuk semua jenis taska atau tertentu saja.

"Sebenarnya saya masih belum pasti apa yang dimaksudkan dengan RM10 juta untuk memudah cara proses pendaftaran taska. Adakah ia untuk bayar segala bayaran yang kami perlu bayar untuk proses mendaftar iaitu kepada arkitek untuk membuat pelan rumah atau bayar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)?

"Adakah dana ini boleh digunakan untuk membuat tangga kecemasan, papan tanda, tiang bendera, kamera litar tertutup (CCTV), suntikan tyhpoid dan lain-lain kerana ini juga perlu menggunakan modal besar dan syarat wajib sebelum mendapatkan lesen," katanya.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi tujuan berkenaan untuk menggalakkan wanita kembali bekerja, sekali gus merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.

Sebagai satu daripada inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy), pusat jagaan kanak-kanak mampu milik akan disediakan yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di alam pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:39 AM