TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bersalam bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin selepas sidang media di PUtrajaya mengenai diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus kepada pengusaha/pemilik TASKA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bersalam bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin selepas sidang media di PUtrajaya mengenai diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus kepada pengusaha/pemilik TASKA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


SEBANYAK 3,398 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di Semenanjung Malaysia akan menerima manfaat diskaun 20 peratus bil elektrik mulai November ini hingga Disember tahun depan.

Inisiatif itu diberikan hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) selaras Program Galakan Pendaftaran Taska dijalankan KPWKM.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, kementerian berharap inisiatif ini akan dapat mengurangkan beban dan kos ditanggung pemilik serta pengusaha taska.

Beliau berkata, diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus ini diberikan hasil penjimatan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang dilaksanakan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Semenanjung Malaysia.

“Pemberian ini adalah berdasarkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan untuk memantau operasi taska di negara ini.

“Dianggarkan populasi taska bagi kanak-kanak di bawah empat tahun di negara ini adalah berjumlah 40,000 namun, hanya 11.9 peratus atau 4,744 buah daripadanya sudah berdaftar dengan dengan JKM,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Katanya, beliau berharap lebih ramai pengusaha taska berdaftar dengan JKM sekali gus merebut peluang diskaun bil elektrik berkenaan.

Yeoh berkata, pemberian diskaun ini hanya terpakai kepada pemilik dan pengusaha taska yang berdaftar dengan JKM di Semenanjung Malaysia dan taska itu juga dikenakan bil elektrik di bawah kategori tarif komersil (Tarif B) oleh TNB.

“Selain itu, bagi taska yang sudah berdaftar dengan JKM, pemberian diskaun akan bermula 1 November ini sehingga 31 Disember tahun depan. Bagi taska yang akan berdaftar dengan JKM, pemberian diskaun akan bermula mulai 1 November ini atau pada tarikh mereka berdaftar sehingga 31 Disember 2019,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan mengadakan perbincangan dengan Sarawak Energy Bhd (SEB dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) supaya pemberian diskaun ini dapat dinikmati sama oleh pemilik dan pengusaha taska di Sarawak dan Sabah.

Sementara itu, Bee Yin berkata, pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi program diskaun bil elektrik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:36 PM