Muhammad Yusri Muzamir


Georgetown: Pengundi perlu menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai medan menyelamatkan negeri berkenaan daripada kerosakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang tidak menamakan secara khusus golongan terbabit, bagaimanapun menasihati orang ramai supaya tidak mensia-siakan undi mereka, pada 12 Ogos ini.

Anwar yang juga Presiden PKR juga meminta pengundi mengambil iktibar daripada setiap perkembangan yang berlaku di negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN), biarpun sering melaungkan slogan 'bersih' ketika berkempen.

"Sebab itu saya nasihatkan (supaya) pilihan raya ini kita selamatkan negeri kita. Jangan bagi sikit signal, baik Melayu, Cina, India mahupun kaum lain. Jangan buat main.

"Jangan abaikan hak anda (untuk mengundi). Kamu putuskan mana yang anda mahu jadikan kerajaan. Kalau anda bertolak ansur dan main-main dengan undi, mereka (PN) menang dan akan jadi rosak negara kita.

"Apa dia (PN) buat di negeri ditadbir mereka? Dia ingat dia bersih, bersih apa sampai masuk mahkamah? Bukan kerja saya, tetapi badan penyiasatan," katanya ketika berucap di Ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof; Ahli Jawatankuasa Amanah merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Jawatankuasa DAP negeri yang juga Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh.

DATUK Seri Anwar Ibrahim.
DATUK Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Anwar turut menasihati pengundi supaya tidak tertipu lagi dengan pelbagai janji yang tidak dapat dilaksanakan.

"Tengok masalah air di Kelantan, kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah serta (dakwaan penyelewengan dana) Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

"Ini semua berlaku dan apabila mereka disiasat mereka kata aku zalim. Saya tidak janji syurga, selalu depa (mereka) janji, dan saya tak kata neraka kalau tidak sokong (PH), tetapi saya janji akan buat sebaiknya," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, beliau akan menggunakan kuasa yang ada padanya sebaik mungkin bagi membantu rakyat, sebaik mungkin.

"Saya akan gunakan kuasa sebaik mungkin, saya bukan muda lagi tetapi saya nampak muda dan tenaga juga muda.

"Justeru, kita mesti pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga pilihan raya akan datang. Saya mahu Pulau Pinang, Kedah, dan semua negeri yang ada PRN bagi sokongan kepada calon kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 11:37 PM