Muhammad Yusri Muzamir


Kepala Batas: Kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang mensasarkan anak golongan paling miskin di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh yang memfokuskan kepada golongan terbabit.

Cadangan penubuhan sekolah itu, katanya, dibuat bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.

"Ini (cadangan memperkenalkan jenis sekolah baharu bagi golongan paling miskin) akan memberi makna manusiawi dan keadilan kepada mereka.

"Akses dan peluang (perlu diberikan) secara saksama bagi membolehkan tiada mana-mana golongan yang tercicir. Kita ada pendemokrasian mutu pendidikan bagi membolehkan semua berhak (mendapatkan pendidikan).

"Ketika ini (semua pihak) berhak. Nama sahaja berhak tetapi sekolah di Manik Urai, Kelantan; Kapit, Sarawak; Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak tetap ada kesenjangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Anwar: Bicara Pendidikan Madani yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengakui, pengundi muda dalam kelompok usia antara 18 hingga 25 tahun memiliki pengaruh besar bagi menentukan corak politik negara.

Sehubungan itu, katanya, kelompok berkenaan wajar membuat penilaian sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi dimiliki mereka.

Beliau menerusi aspek pentadbiran kerajaan mengakui akan terus berusaha membawa lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara, seterusnya memastikan generasi muda mendapat peluang pekerjaan.

"Pilihan ini sama ada pengundi muda mahu menentukan negara berbilang kaum yang memiliki dasar ekonomi jelas serta mampu menarik pelaburan, sekali gus menjamin masa hadapan mereka atau mahukan kerajaan seperti di negeri tertentu yang tiada pengalaman serta menakut-nakutkan pelabur.

"Sebab ini, saya harap anak muda membuat keputusan bijak dan pastikan masa depan anda terjamin. Anda yang akan menentukan masa depan masing-masing," katanya yang juga Menteri Kewangan.

ANWAR berucap ketika program Temu Anwar Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
ANWAR berucap ketika program Temu Anwar Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 5:06 PM