MOHD Salim menyerahkan zakat RISDA kepada wakil penduduk, Zulkifli Mahari, 55 pada majlis penyerahan zakat di Kampung Orang Asli Panchor. FOTO ABNOR HAMIZAM
MOHD Salim menyerahkan zakat RISDA kepada wakil penduduk, Zulkifli Mahari, 55 pada majlis penyerahan zakat di Kampung Orang Asli Panchor. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) membelanjakan RM56 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 187,000 pekebun kecil sehingga 15 Disember lalu.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Mohd Shariff berkata, sebanyak 274,000 pekebun kecil dikenal pasti bagi menerima bantuan berjumlah RM300 sebulan itu bagi Disember ini dan Januari depan.

Katanya, bayaran secara berperingkat itu sekali gus memberi manfaat kepada pekebun kecil yang terkesan akibat musim tengkujuh.

"Menerusi BMT, pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan kebun getah tidak melebihi 2.5 hektar layak menerima bantuan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kasihi Pekebun Kecil Dan Penyampaian Zakat RISDA di Kampung Orang Asli Panchor di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) Risda, Sopian Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Risda, Ali Sabuddin Abd Samad; Pengarah Risda Negeri Sembilan, Abd Rahim Hashim dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Jempol Khairul Anuar Abu Khamis.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, BMT diharap dapat meringankan beban kewangan pekebun kecil yang berdepan dengan masalah pendapatan kerana tidak dapat menoreh.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim berkata, Kampung Orang Asli Panchor menjadi projek perintis depo lateks bernilai RM40,000.

Katanya, pembinaan depo berkenaan akan memberi manfaat kepada 119 pekebun kecil di sekitar kampung berkenaan sekali gus meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus berbanding getah skrap.

"Pekebun kecil lain dari kawasan berhampiran juga boleh menghantar susu getah cair ke depo ini berikutan lateks mendapat permintaan tinggi selain harga mencecah RM5 sekilogram.

"Ketika ini terdapat lapan depo lateks yang beroperasi di negeri Kelantan, Perak, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan," katanya.

Pada majlis itu juga RISDA turut menyerahkan zakat berjumlah RM11,000 kepada 44 penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.

#kw bmt, zakat, risda,

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:41 PM