PEKEBUN kecil getah digesa memanfaatkan baki RM60 juta yang dimanfaatkan melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk menstabilkan pendapatan masing-masing ketika penurunan harga komiditi itu. FOTO Amran Hamid
PEKEBUN kecil getah digesa memanfaatkan baki RM60 juta yang dimanfaatkan melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk menstabilkan pendapatan masing-masing ketika penurunan harga komiditi itu. FOTO Amran Hamid
Sri Ayu Kartika Amri

LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) komited memastikan lebih ramai pekebun kecil membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi meringankan kesan kejatuhan harga getah ketika ini.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, pihak sudah mempergiat usaha menghebahkan kewujudan IPG kepada masyarakat umum terutamanya pekebun kecil dan pelesen.

Katanya, jumlah pembayaran IPG setakat 31 Mei adalah sebanyak RM317.9 juta membabitkan lebih 130,000 pekebun kecil di seluruh negara.

"Sehingga kini seramai 311,758 pekebun di Semenanjung berdaftar melalui Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

"Manakala, di Sabah dan Sarawak pula, jumlah pekebun yang berdaftar di bawah PAT-G adalah seramai 128,499 orang.

"LGM sedar bahawa masih ramai pekebun kecil yang tidak memanfaatkan IPG, namun LGM sudah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi perkara ini. Tahun ini sahaja, kita sudah beberapa kali muncul di media massa memaklumkan kepada pekebun kecil untuk menuntut IPG jika harga purata getah di bawah paras RM2.50," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pelaksanaan IPG tidak mempunyai kaitan dengan usaha untuk meningkatkan pasaran getah sebaliknya IPG dijalankan untuk memastikan pekebun kecil terus menoreh bagi menjamin pengeluaran bekalan getah.

Zairossani berkata, IPG diperkenalkan kerajaan sejak 2015 untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil getah disamping menggalakkan mereka untuk terus menoreh ketika harga pasaran rendah.

"Berdasarkan harga getah yang terlalu rendah pada penghujung 2018, kerajaan sudah menambah baik pelaksanaan IPG dengan menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram (kg) getah sekerap bermula 1 Januari 2019.

"Selain itu, bayaran IPG teraktif berbeza bagi Semenanjung (85 sen sekilogram), Sabah (RM1.15) dan Sarawak (RM1)," katanya.

Beliau berkata, IPG dibayar apabila harga purata bulanan Standard Malaysian Rubber (SMR 20) di bawah RM6.10 sekilogram atau purata bulanan harga sekerap di bawah RM2.50 sekilogram.

Ini bermakna, harga getah disokong pada RM2.50 sekilogram apabila pekebun kecil menjual getah kepada pembeli getah berlesen (peraih) menggunakan kad PAT-G.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 3:48 PM