Anggota APM Baling menyelamatkan wanita yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Bayu, Asam Jawa. FOTO IHSAN APM
Anggota APM Baling menyelamatkan wanita yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Bayu, Asam Jawa. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Keseronokan seorang wanita mandi dan berkelah di Lata Bayu, Asam Jawa di sini hilang selepas dia berdepan detik cemas terperangkap dalam kejadian kepala air di situ hari ini.

Bagaimanapun wanita berusia 22 tahun itu bernasib baik selepas berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, kejadian kepala air itu berlaku jam 4.30 petang dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang.

Menurutnya, sembilan anggota APM Baling bersama dua ambulans tiba di lokasi untuk membantu mangsa.

"Mangsa, Nur Aliyana Naiza Abdul Halim, 22, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu kemudian dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan.

"Sehubungan itu, APM baling menasihatkan orang awam yang ingin melakukan aktiviti riadah di kawasan air terjun supaya sentiasa berhati-hati dan segera meninggalkan kawasan itu jika mendapati terdapat tanda tanda kepala air di situ," katanya.

Difahamkan terdapat seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian dan menerima rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 11:26 PM