Rosli Ilham


Kemaman: Mangsa kejadian kepala air di Kampung Air Puteh, di sini, hari ini dipercayai dari satu keluarga membabitkan tiga lelaki dan tujuh wanita.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua mangsa dipercayai berusia antara empat hingga 40 tahun datang berkelah di situ, kira-kira jam 5 petang semalam.

Katanya, polis sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita terapung di sungai Kampung Pasir Gajah dalam jarak kira-kita 24 kilometer daripada tempat keluarga itu berkelah.

"Polis bersama pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat kedua seorang lelaki ditemui tersangkut di pokok pada jarak tiga kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Hanyan berkata, hujan lebat sejak petang semalam hingga awal pagi hari ini dipercayai menyebabkan berlaku fenomena kepala air di situ.

"Identiti kedua-dua mayat serta lapan lagi ahli keluarga yang dikhuatiri hilang itu belum diperoleh.

"Polis sedang berusaha mendapatkan maklumat dan mengenal pasti keluarga mangsa yang terbabit," katanya.

Hanyan berkata, polis percaya keluarga besar ini terbabit dalam tragedi itu berdasarkan pakaian dan selipar di tempat kejadian.

"Polis menemui sebuah kereta Proton Gen2 dan motosikal SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.

"Berdasarkan keadaan motosikal yang terbalik dan dalaman kereta yang basah kita percaya berlaku kejadian kepala air di situ," katanya.

Katanya, kejadian fenomena kepala air itu juga dipercayai menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri sebelum dihanyutkan.

"Mayat kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, operasi ditamatkan kira-kira jam enam petang tadi berikutan keadaan cuaca yang buruk dan operasi akan bersambung 9 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 7:59 PM