BANJIR kilat di Baling, semalam. FOTO Ihsan APM
BANJIR kilat di Baling, semalam. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seramai 210 mangsa daripada 66 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir kilat di Baling dan Sik, malam tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, mangsa ditempatkan di lapan PPS iaitu tujuh di Baling dan satu di Sik.

Beliau berkata, di Baling, tujuh PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, SK Tanjung Pari, SK Kampung Perda, SK Seri Bayu, SK Tunku Putra, SK Titi Gantong dan SK Bandar yang membabitkan 149 mangsa daripada 51 keluarga.

"Di Sik, hanya satu PPS iaitu di PPS SK Gulau yang menempatkan 61 mangsa daripada 15 keluarga," katanya.

Saifuddin berkata, operasi pemindahan mangsa banjir masih dilakukan di daerah Baling sehingga kini.

"Paras air di daerah Baling masih belum surut," katanya.

Kejadian banjir kilat turut menyebabkan beberapa rumah di daerah Kuala Muda, iaitu di Gurun dan Semeling dinaiki air, namun tiada PPS dibuka di situ setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 9:33 AM