Rafidah Mat Ruzki


SAMBUTAN Hari Kebangsaan tahun ini bakal mencatatkan kelainan selepas larangan terhadap perhimpunan membataskan aktiviti yang boleh dilakukan.

Ia termasuk perbarisan yang sering dilakukan ketika menyambut Hari Kebangsaan saban tahun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, kerajaan tidak membenarkan sebarang perbarisan diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang jatuh pada hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos nanti.

Beliau berkata, ia berikutan sukar untuk menjalankan penjarakan sosial bukan saja dalam kalangan peserta perarakan malah, antara pengunjung perbarisan.

"Sebab kalau kita lihat, perbarisan itu, perhimpunan adalah besar. Saya rasa ia membabitkan beribu-ribu (rakyat). Kedua, dari segi penjarakan sosial tiada ketika perbarisan, bukan saja oleh peserta perbarisan tetapi saya rasa penonton yang hadir juga tidak ada penjarakan sosial.

"Kalau di kerusi orang kenamaan dan tempat dikhaskan mungkin boleh dikawal tapi orang ramai datang sendiri, kalau di Dataran Merdeka, (orang ramai) berada di tepi jalan dan sebagainya.

"Mereka akan berhimpit-himpit dan sukar dikawal. Setakat ini tiada perarakan lagi," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

PASUKAN Tentera Darat Diraja Malaysia melakukan lintas hormat di pentas utama ketika raptai perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. FOTO Saddam Yusoff
PASUKAN Tentera Darat Diraja Malaysia melakukan lintas hormat di pentas utama ketika raptai perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka. FOTO Saddam Yusoff

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, sambutan Hari Kebangsaan bukan hanya sekadar acara perbarisan semata-mata tetapi banyak lagi program sampingan lain termasuk pelancaran Bulan Kemerdekaan dan mengibar Jalur Gemilang boleh dijalankan.

Katanya, beliau percaya perincian mengenai sambutan Hari Kebangsaan akan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah nanti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 3:42 PM