MUHAMMAD Danial ditemukan lemas ketika mandi di sungai. FOTO Ihsan bomba
MUHAMMAD Danial ditemukan lemas ketika mandi di sungai. FOTO Ihsan bomba
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Remaja lelaki yang ditemukan lemas di sungai berhampiran Jalan Bukit Idaman, Kampung Bukit Lenggong di sini, semalam, dikatakan sempat meminta izin daripada bapanya untuk keluar 'jalan-jalan' bersama rakan.

Difahamkan, Allahyarham Muhammad Danial Rizal Suardi, 15, ke sebuah kawasan rekreasi untuk mandi sungai bersama beberapa rakannya berikutan cuti sekolah.

Bapa saudara mangsa, Sunardi Ali Muan, 47, berkata, pemergian anak saudaranya amat dirasai seluruh keluarga memandangkan remaja itu adalah anak bongsu daripada lima beradik.

Lebih pilu, katanya, mangsa bersama adik beradiknya baru pulang dari kampung halaman di Indonesia selepas selesai mengadakan kenduri kesyukuran berikutan bapa mereka sembuh dan mampu berjalan selepas diserang angin ahmar.

"Dia (mangsa) memang sangat baik (sambil menunjuk tanda bagus), dia tidak kacau orang, dia juga tidak pernah tinggal solat. Dia memang baik.

"Saya pun terkejut bila dapat berita ini, waktu itu saya sedang bekerja dan kawan yang bagi tahu anak buah saya lemas," katanya ketika ditemui Harian Metro di Masjid Ubudiah, Segambut Dalam, di sini, hari ini.

Sunardi berkata, ahli keluarga amat bersedih dengan pemergian remaja lelaki itu yang disifatkan amat mengejutkan.

"Saya tak pasti sebenarnya macam mana kejadian berlaku sebab semuanya (keluarga) tengah bersedih. Saya pun tidak mahu tanya sangat.

"Semalam balik dari hospital pun semua sedang bersedih… abang (bapa mangsa) pun tak mahu bercakap sangat… sedih mungkin," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, remaja lelaki ditemukan lemas di sungai berhampiran Jalan Bukit Idaman, Kampung Bukit Lenggong di sini, semalam.

Mangsa diselamatkan orang awam namun disahkan meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 4:47 PM