Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jenazah tiga beranak yang lemas di Sungai Muda Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling semalam selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Az-Zaitun, hari ini.

Terdahulu, jenazah Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, tiba di kampung mereka di Kampung Paya Kerchut, Bukit Pinang dari Hospital Kulim pada 4.05 petang.

Pada 5.07 petang, jenazah tiga beranak itu disembahyangkan di Masjid Az-Zaitun.

Hampir 200 orang termasuk ahli keluarga dan sahabat handai hadir ke pengebumian jenazah tiga beranak itu yang selamat dikebumikan pada 5.45 petang.

Bapa dua kanak-kanak itu, Sharudin Aziz, 51, dan anak sulungnya, Muhammad Ziyad Hadif, 10, kelihatan sedang bersedih ketika jenazah ketiga-tiga beranak itu dikebumikan.

JENAZAH tiga beranak yang lemas di Sungai Muda selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Masjid Az-Zaitun, Kampung Lengkuas. FOTO Luqman Hakim Zubir
JENAZAH tiga beranak yang lemas di Sungai Muda selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Masjid Az-Zaitun, Kampung Lengkuas. FOTO Luqman Hakim Zubir

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, setakat ini pihaknya masih menyiasat punca kemalangan itu berlaku.

Katanya, kereta Proton Persona terbabit dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan mekanikal dari segi brek dan lain-lain.

"Selain itu, kita juga meminta saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian semalam, tiga beranak terbabit ditemukan lemas selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling.

Ketiga-tiga mangsa ditemukan berpelukan di bahagian belakang kenderaan pada 3.30 pagi sebaik kereta itu berjaya ditarik naik oleh sebuah kren dari dasar sungai berkenaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 6:36 PM