KHAIRUDIN Aljunied. FOTO arkib NSTP
KHAIRUDIN Aljunied. FOTO arkib NSTP
MADELINE Berma. FOTO arkib NSTP
MADELINE Berma. FOTO arkib NSTP

Beri penjelasan maksud sebenar konsep ataupun takrifan MADANI serta fahami corak dunia masa kini terutama dalam kalangan anak muda menjadi antara cabaran dalam merealisasikan Malaysia MADANI dalam konteks masyarakat majmuk.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, konsep itu perlu dijelaskan sebaik mungkin kepada masyarakat supaya ia dapat dihayati.

"Rakyat di peringkat akar umbi mahu satu penjelasan apakah itu MADANI.

"Jadi untuk merealisasikan masyarakat MADANI ini bagi saya isu kesejahteraan sangat penting," katanya pada Forum Malaysia MADANI bertajuk Merealisasikan Negara MADANI: Cabaran dalam Malaysia yang Majmuk.

Forum ini turut menampilkan tiga lagi panel iaitu Profesor Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Khairudin Aljunied, Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Harris Zainul serta Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Dr Khairudin berkata, terdapat tiga cabaran yang menyebabkan kesukaran untuk melaksanakan apa juga konsep termasuklah masalah defisit perhatian.

"Kedua ialah masalah krisis autoriti di mana golongan muda dan tua tidak lagi mempercayai sesiapa sahaja termasuk ketua-ketua politik, ulama, guru dan profesor di universiti.

"Cabaran ketiga pula adalah kita harus memahami bahawa kita kini hidup di dalam zaman the age of disruption, di mana apa juga yang lakukan, dasar, polisi dan idea, ia akan mengalami satu gangguan atau perpecahan yang akan berlaku bila-bila masa dan oleh sesiapa saja.

"Ini kerana zaman sekarang semua orang mempunyai senjata iaitu media sosial.

"Jadi pada saya, isu MADANI ini pertama sekali yang harus dilakukan adalah supaya setiap universiti perlu memahami isu ini," katanya.

Bagi Dr Sivamurugan, cabaran utama adalah bagaimana untuk menerapkan serta menjadikan ia amalan sebagai rutin kehidupan kita dengan cara yang mudah.

"Cabaran kedua bagaimana untuk memanusiakan Malaysia dengan wajah MADANI yang rencahnya pelbagai, aneka ragam, majmuk, berpaksi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Bagi saya MADANI harus dikupas lebih jelas dan mudah daripada peringkat awal, pertengahan, atasan dan ia tidak harus dilihat sebagai matrikulasi ataupun retorik politik semata-mata," katanya.

Cabaran ke atas pembentukan identiti nasional yang semakin terhakis dan mungkin runtuh disebabkan peredaran zaman.

Dr Sivamurugan berkata, kini, teknologi menyebabkan kita mungkin tergelincir, tergelongsor disebabkan nilai yang cuba dibentuk di alam maya daripada nilai sebenar di dalam realiti kita.

Bagi Harris, cabaran yang dilihat dalam merealisasikan Malaysia MADANI adalah penyebaran ucapan benci dan berita palsu terutama di media sosial.

Katanya, banyak berita palsu, ucapan benci yang disebar termasuk daripada masyarakat biasa serta cybertrooper yang dibayar pihak tertentu, menjadi batu api kepada semangat perpaduan di Malaysia.

"Pada saya, perkara ini adalah satu cabaran yang perlu diselesaikan secara komprehensif supaya kita dapat memupuk suatu masyarakat yang majmuk di Malaysia," katanya.

Harris berkata, mungkin masih awal untuk kita cuba menyampaikan mesej ini kepada penduduk tak kisah di bandar ataupun di luar bandar.

"Mungkin kita harus memberi ruang kepada kerajaan memperkenalkan dan memperincikan lagi konsep serta sebagai contoh kerangka ekonomi MADANI dan sebagainya, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 10:47 AM