Aizat Sharif


Arau: Mahasiswa dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberikan pendedahan dalam menyelami konsep Malaysia Madani yang menjadi pegangan kerajaan perpaduan negara pada waktu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, konsep Malaysia Madani perlu difahami oleh golongan mahasiswa dengan sebaik mungkin memandangkan ia membawa satu nilai yang baik untuk saling sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Ini sebenarnya adalah tonggak Malaysia Madani yang perlu ada pada mahasiswa dalam upaya mereka menongkah cabaran pada masa depan.

"Oleh hal demikian ia adalah kesempatan yang perlu digunakan bagi menerangkan kepada golongan ini bahawa inilah masanya untuk kita menghayati dan menyokong kuat konsep Malaysia Madani ini.

"Disebabkan ia bukan sahaja untuk kestabilan kerajaan malahan bagi membentuk nilai yang baik dalam jatidiri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan sempena Himpunan Mahasiswa Madani yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya mendekati golongan mahasiswa di kampus bukannya bertujuan untuk berpolitik namun bagi menyampaikan kerangka pemerintahan kerajaan perpaduan ini kepada semua golongan masyarakat.

"Terus terang saya katakan bahawa, pendekatan ini bukanlah untuk mengajak mahasiswa berpolitik tetapi lebih kepada satu bentuk penerangan dalam memberi gambaran kepada mereka berkenaan kerangka konsep Malaysia Madani ini.

"Harapan kita adalah bagi membawa negara ke hadapan dengan konsep ini mendepani cabaran yang ada," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, himpunan berkenaan adalah satu pendekatan yang baik memandangkan konsep Malaysia Madani masih baharu dan mahasiswa berpeluang mendengar terus tentang hasrat dan langkah yang ingin dibawa kerajaan.

"Malah kita juga berhasrat menghasilkan mahasiswa yang lengkap dengan pengetahuan dan ilmu yang benar.

"Dalam masa yang sama, kita juga meraikan perbezaan pendapat namun biarlah beradab dan mempunyai ilmu pengetahuan mencukupi," katanya.

Terdahulu, Mohammad Agus menyampaikan ucapan dan penerangan kepada konsep Malaysia Madani kepada hampir 1,000 mahasiswa pelbagai bangsa dan agama di Kompleks Dewan Kuliah, UniMAP semalam.

Setakat ini, terdapat 10 IPT yang sudah didedahkan dengan konsep Malaysia Madani menerusi penganjuran Himpunan Mahasiswa Madani dan ia adalah satu usaha bagi memberi kefahaman kepada golongan berkenaan berkenaan konsep yang diterapkan oleh kerajaan perpaduan.

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Pengerusi Yayasan Graduan, Datuk Mohd Faizal Daud, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP dan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP, Mohamed Alif Zuhaili Shafarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 10:09 AM
Mohammad Agus (tengah, berbaju putih) bersama Zaliman Sauli (lima dari kiri) bergambar bersama hampir 1,000 penuntut UniMAP dari pelbagai latar belakang agama dan bangsa semasa Himpunan Mahasiswa Madani di UniMAP, Kampus Pauh Putra, Arau. FOTO AIZAT SHARIF
Mohammad Agus (tengah, berbaju putih) bersama Zaliman Sauli (lima dari kiri) bergambar bersama hampir 1,000 penuntut UniMAP dari pelbagai latar belakang agama dan bangsa semasa Himpunan Mahasiswa Madani di UniMAP, Kampus Pauh Putra, Arau. FOTO AIZAT SHARIF