PADA era negara bangsa, Muslimin hidup di suatu negara sebagai kesepakatan bersama kelompok lain dalam bangsa majmuk.
PADA era negara bangsa, Muslimin hidup di suatu negara sebagai kesepakatan bersama kelompok lain dalam bangsa majmuk.

Kuala Lumpur: Wawasan madani bukan baharu, tetapi sudah ada sejak masa awal Islam, iaitu pada masa Rasulullah SAW dan berkembang dalam lintasan sejarah dengan pelbagai improvisasi dan pengubahsuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pemaknaan penting. Beliau meletakkan landasan falsafah dan mengajukan kerangka operasional.

Lebih penting dalam Wawasan Malaysia Madani baharu daripada Anwar adalah upaya pemaduan antara masyarakat dengan negara dan penghimpunan semua lapisan masyarakat serta sektor kehidupan dan pembangunan negara.

Wawasan madani sudah ada sejak masa awal Islam dan menjadi cita-cita sosial Islam.

Nabi Muhammad SAW, selepas hijrah ke Yatsrib, yang semula jadi adalah fenomena kedesaan (rural phenomenon) mengubahnya menjadi al-Madinah yang menjadi fenomena kota urban phenomenon.

Dalam masa singkat, Nabi Muhammad SAW berhasil membangun suatu tatanan ideal, iaitu al-Ummah dan al-Madinah.

Pertama ialah perisian, manakala kedua adalah perkakasan hardware. Kedua-dua hal ini membentuk madani menurut Islam, iaitu al-Ummah dan al-Madinah.

Ummah sebagai dimensi esoterik adalah komuniti mempunyai kesamaan keyakinan dan tujuan serta berasaskan nilai persamaan (al-musawah), keadilan (al-'adalah) dan musyawarah (al-syura).

Sedangkan Madinah, sebagai dimensi eksoterik, menjadi penjelmaan daripada daya cipta warga masyarakat.

Dalam bentuk peradaban atau tamadun maju, masyarakat Nabawi adalah masyarakat majmuk hidup berdampingan secara damai, dalam budaya saling hormat-menghormati serta saling mempercayai dan bekerjasama membangun kehidupan bersama, untuk mewujudkan cita-cita bersama.

Wawasan madani Nabawi berkenaan, pada masa pasca-Nabi Muhammad SAW dikembangkan ulama dengan pelbagai konsep dan visi sesuai dengan konteks sosial budaya serta politik yang ada.

Mereka mengajukan cita-cita beragam. Golongan fuqaha mengajukan konsep 'negara sejahtera' dengan tujuan hidup bermasyarakat untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat (sa'adat al-darain).

Golongan ahli falsafah seperti Al-Farabi mengajukan konsep negara utama, iaitu negara dan masyarakat memperoleh keutamaan kerana berpegang teguh pada nilai etika dan moral kebaikan.

Kumpulan ahli falsafah yang menamakan diri Al-Ikhwan al-Safa' mengajukan teori lain, iaitu al-madinat al-fadilat al-ruhaniyah (negara utama rohaniah). Ibnu Khaldun mengajukan teori 'umran', iaitu suatu tatanan masyarakat bekerjasama dalam mewujudkan kemakmuran bersama.

Pada zaman moden, konsep ummah dikembangkan menjadi masyarakat berperlembagaan, iaitu masyarakat berpegang teguh pada perlembagaan sebagai kesepakatan warga negara.

Muhammad Abduh menambahkan tiga asas ummah, iaitu al-musawah, al-'adalah dan al-shura dengan asas keempat, al-qanun atau perundangan.

Asas keempat daripada ummah ini menunjukkan pada era negara bangsa, Muslimin hidup di suatu negara sebagai kesepakatan bersama kelompok lain dalam bangsa majmuk.

Baik kumpulan majoriti mahu pun minoriti, Muslimin hidup berdampingan secara damai dalam persatuan dan kesatuan membangun negara.

Pada latar muslimin, sebagai kumpulan majoriti dan apa lagi Islam menjadi agama rasmi negara, adalah menjadi kewajiban syarie dan rasional pemerintahan Muslim membangun tatanan masyarakat atas asas wawasan madani.

Dalam kaitan inilah Wawasan Malaysia Madani Perdana Menteri memiliki relevansi, apresiasi dan obsesi.

Wawasan Madani digagas Anwar untuk Malaysia (Malaysia Madani) menarik untuk dibahaskan.

Pertama, walaupun kepanjangan daripada istilah Madani (kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan) terasa dipaksakan, makna daripada kata-kata itu dapat difahami.

Keenam-enam kata menjadi penjelasan konsep Madani adalah nilai etika berhubungan makna madani dalam bahasa asal, iaitu bahasa Arab.

Dalam bahasa Arab, kata madani mengandungi erti maju dan kerana berhubungan dengan kata tamadun yang sinonim dengan kata bahasa Inggeris civilization atau bahasa Melayu (peradaban), maka kata madani dan tamadun memiliki akar kata sama dengan kata Madinah.

Maka Wawasan Madani dapat difahami sebagai visi untuk mewujudkan tamadun atau peradaban tinggi.

Kedua, keenam-enam kata itu menjadi nilai pada Madani (juga enam kata atau nilai pada konsep SCRIPT: Sustainability, Care and Compassion, Respect, Innovation, Prosperity, Trust adalah nilai etika untuk kemajuan, keunggulan, dan kejayaan).

Ketiga, pada Wawasan Malaysia Madani dapat difahami adanya suatu visi besar ke depan, iaitu kemajuan, keunggulan dan kejayaan Malaysia.

Hal ini lebih jelas tersurat dan tersirat pada visi Perdana Menteri seperti tertulis dalam Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi (Institut Darul Ehsan, 2022) bahawa 'Visi kita: Untuk membangun tanah air yang lebih mampan dan makmur berteraskan roh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan, di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya - yakni sebuah masyarakat Malaysia yang adil.'

Dalam kaitan ini, visi Anwar untuk Malaysia lebih daripada sekadar negara kebajikan, tetapi sebagai negara adil atau negara kebajikan dan negara keadilan serentak.

Keempat, wawasan sedemikian bersifat Islami dan sejalan dengan negara madani. Tentu paradigma etika negara madani berkenaan mencakupi nilai etika dalam al-Ummah dan al-Madinah (dua peranti dan dua dimensi daripada cita-cita sosial Islam), iaitu persamaan, keadilan dan musyawarah, selain kemajuan, keunggulan serta kejayaan.

Kelima, akan mudah difahami masyarakat global jika Wawasan Madani dijabarkan ke dalam paradigma etika derivatif berupa nilai dasar, baik bersifat sentral mahupun instrumental.

Bagi kepentingan praktik kata madani dapat juga diajukan kepanjangan baharu seperti Maju, Aman, Damai, Adil, Nikmat dan Indah. Atau apakah ada kepanjangan lain?

Penulis Guru Besar Politik Islam Global, Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di Jakarta, Indonesia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:55 AM