Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas 22 pertuduhan termasuk merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuan jirannya yang di bawah umur sejak November tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nor Ezzat Ridzuan, 29, yang bekerja sebagai pemasang kanopi mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan petang tadi di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan sejak mangsa berusia 12 tahun 3 bulan sehingga 12 tahun sembilan bulan, manakala empat lagi pertuduhan dilakukan terhadap adik mangsa berusia 11 tahun lima bulan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(2) (d) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol mangsa di bawah usia 12 tahun dan Seksyen 376 (2) (e) kanun sama kerana merogol mangsa bawah usia 12 tahun.

Jika sabitkan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan sebat.

Bagi empat pertuduhan lain, Mohd Nor Ezzat didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama yang ketika itu berusia 12 tahun tiga bulan hingga usianya 12 tahun empat bulan tanpa kerelaannya.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika disabitkan.

Tertuduh juga didakwa atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal iaitu lima pertuduhan ketika mangsa berusia 12 tahun satu bulan sehingga 12 tahun empat bulan dan satu pertuduhan membabitkan adiknya berusia 11 tahun 5 bulan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dalam pada itu, empat lagi pertuduhan membabitkan kesalahan seks menggunakan objek yang dilakukan terhadap mangsa sama selama enam bulan sehingga usia kanak-kanak itu mencecah 12 tahun 9 bulan.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Krubong, dekat sini, pada tarikh berasingan antara akhir November 2022 sehingga 13 Julai 2023 sekitar jam 11 malam hingga 2 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang melakukan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan tidak boleh dijamin selain tertuduh dan mangsa tinggal di kampung sama.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 27 September depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa, lantikan peguam dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:40 PM