ABDUL Rahman (kiri) melihat kad pengenalan warga emas, Long Senah, 88, pada Program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli di OAOSC, Kampung Bawong, Sungai Siput. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
ABDUL Rahman (kiri) melihat kad pengenalan warga emas, Long Senah, 88, pada Program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli di OAOSC, Kampung Bawong, Sungai Siput. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Golongan profesional dalam kalangan masyarakat Orang Asli berperanan penting untuk menyemai kepentingan mengambil vaksinasi Covid-19 terhadap masyarakat berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, selain tok batin yang juga pemimpin masyarakat setempat komuniti itu, peranan sama perlu dimainkan oleh profesional seperti guru, pensyarah serta mereka berjawatan penting dari kalangan masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata, ia kerana profesional seperti itu kebiasaannya turut menjadi idola serta ikutan masyarakat Orang Asli sebagaimana keyakinan tinggi diletakkan kepada tok batin, sekali gus menyebabkan golongan itu menuruti tindakan serta nasihat diberikan.

"Memang kebiasaan Orang Asli akan melihat kepada idola mereka khususnya tok batin, begitu juga dengan cikgu (guru) dalam kalangan Orang Asli, pensyarah (dari kalangan) Orang Asli, serta mereka berjawatan, di mana kata-kata mereka dipercayai.

"Selain kempen kami (kerajaan) kerana kebiasaannya selepas kempen kami itu, biasanya mereka (Orang Asli) akan merujuk juga kepada idola mereka ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak MARA LINER Sdn Bhd di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC), Kampung Bawong di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MARA LINER Sdn Bhd, Zachary Ismail Zee Ismail.

Abdul Rahman berkata, setakat kelmarin seramai 30,638 orang daripada 144,180 orang masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang layak untuk divaksin sudah menyatakan persetujuan menerima pelalian itu.

Katanya, langkah awal pihaknya yang mendahulukan vaksinasi terhadap semua 624 tok batin yang bersetuju untuk divaksin dari 853 kampung Orang Asli di Semenanjung dilihat bakal melonjakkan angka penerimaan komuniti Orang Asli terhadap vaksin, sehingga semalam 80 peratus daripada tok batin sudah menyatakan persetujuan menerima pelalian.

PETUGAS kesihatan memberi penerangan sebelum memberi suntikan pada Program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli di OAOSC, Kampung Bawong, Sungai Siput.
PETUGAS kesihatan memberi penerangan sebelum memberi suntikan pada Program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli di OAOSC, Kampung Bawong, Sungai Siput.

"Kami akan gunakan apa juga sudut untuk memastikan masyarakat Orang Asli menerima vaksinasi selain kempen 'turun padang' yang dijalankan termasuk oleh agensi di bawah kementerian ini termasuk mempromosikan kebaikan vaksin melalui idola mereka," katanya.

Mengenai PPV bas bergerak MARA LINER, Abdul Rahman berkata, dua daripada 17 bas yang digerakkan bagi tujuan imunisasi itu memulakan operasinya dengan dua bas ditempatkan di OAOSC Kampung Bawong.

Katanya, penggunaan bas melalui proses ubahsuai itu antara lain bertujuan memberi kemudahan kepada petugas dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) selain Orang Asli yang tidak mendaftar melalui MySejahtera juga boleh segera divaksin di PPV bas bergerak.

"Selain sembilan kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan orang kurang upaya (OKU), bas berkenaan dilengkapi dua doktor dan seorang jururawat dari rangkaian klinik yang dibangunkan melalui program 'ProSPEC' di bawah MARA (Majlis Amanah Rakyat).

"Ia beroperasi selama 10 jam sehari dengan anggaran 800 penerima divaksin, setiap hari bagi sebuah bas, merangkumi vaksinasi terhadap Orang Asli mahupun masyarakat luar bandar," katanya.

ABDUL Rahman (lima dari kanan)   berada di hadapan satu daripada 17  Bas Bergerak MARA LINER Sdn Bhd yang digunakan untuk    Program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli.
ABDUL Rahman (lima dari kanan) berada di hadapan satu daripada 17 Bas Bergerak MARA LINER Sdn Bhd yang digunakan untuk Program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli.

'Mahu semua dapat vaksin'

Sungai Siput: "Kalau boleh kami mahu semua masyarakat Orang Asli di sini divaksin," kata Tok Batin Kampung Kenang, Saidin Wahab, 61.

Dia antara 100 penerima vaksin Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak MARA LINER Sdn Bhd di Orang Asli Centre (OAOSC), Kampung Bawong di sini, semalam, 40 daripadanya adalah Tok Batin sekitar daerah itu.

Katanya, sebagai Tok Batin semestinya dia memastikan semua anak buahnya segera mendapatkan imunisasi Covid-19.

"Pada saya kalau boleh jangan tertinggal walau satu pun sampailah kami (Orang Asli) semua habis divaksin sebab sekarang keadaan tidak menentu dan kita tidak tahu bila penyakit (Covid-19) akan datang kepada kita," katanya ketika ditemui.

Bagi Orang Asli Kampung Lawai di Jalong Tinggi di sini, Shafika Ngah, 43, dia tidak menafikan wujud perasaan gementar untuk divaksin.

Ibu tiga anak itu berkata, dia mendapatkannya bagi menyahut seruan kerajaan dan mengelakkan Covid-19.

"Tambahan pula saya mengidap penyakit darah tinggi yang meningkatkan risiko sekiranya saya dijangkiti Covid-19," katanya yang datang ke PPV bergerak itu bersama lima ahli keluarganya.

Sementara itu, kehadiran warga emas, Long Senah, 88, Orang Asli dari Kampung Bawong ke PPV bas bergerak itu mencuri tumpuan ramai apabila dipimpin sukarelawan bertugas bagi mendapatkan suntikan vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 12:28 PM