Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang menawarkan pelaksanaan kursus terpilih bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat Orang Asli di kedudukan asal penempatan masyarakat itu.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ia bagi menarik minat anak muda mempelajari dan menguasai TVET ketika kerajaan menyasarkan peningkatan iaitu 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang tahun 2030.

Katanya, selain pelaksanaan kursus di demografi penempatan Orang Asli, perkara lain yang akan turut diambil kira bagi menarik minat Orang Asli mempelajari TVET ialah pelaksanaan kursus secara modular.

"Bukan semua kursus boleh dibuat secara in-situ walaupun kami sememangnya bercadang melaksanakannya, iaitu supaya anak muda Orang Asli tidak perlu keluar jauh untuk belajar kemahiran sebaliknya kita bawa kemahiran terbabit ke penempatan mereka.

"Sebagai contoh di kawasan ini adanya Pusat Hentian Setempat Perkampungan Orang Asli (OAOSC) yang memang sesuai dan boleh digunakan untuk mempelajari kemahiran dalam TVET.

"Mengenai kursus secara modular, ia lebih diminati kerana tempohnya lebih pendek berbanding sedia ada yang memerlukan masa bertahun.

"Bagi kursus modular, mungkin dalam tempoh hanya dua bulan mereka boleh mempelajari serta menguasai sesuatu benda lalu bekerja dan selepas tamat mereka boleh menambah kemahiran dengan mengikuti kurus modul lain," katanya sewaktu ditemui pemberita dalam Program TVET dan Kerjaya Orang Asli di dewan OAOSC Bawong, Kampung Bawong, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, bagaimanapun program-program berkaitan TVET Orang Asli yang dilaksanakan sebelum ini dilihat tidak begitu mencapai matlamat yang dikehendaki malah boleh dianggap sebagai satu kegagalan.

"Ada banyak program-program yang dilaksanakan KSM bersama dengan agensi-agensi berkaitan Orang Asli seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sememangnya berjaya tetapi kita kena lihat juga kegagalan kita dalam beberapa aspek.

V Sivakumar ketika melawat gerai pameran bersempena Program TVET dan Kerjaya Orang Asli di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
V Sivakumar ketika melawat gerai pameran bersempena Program TVET dan Kerjaya Orang Asli di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 3:32 PM