Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Dato Mohd Nor menyantuni penerima elaun sara hidup di (RPS) Kuala Betis, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Dato Mohd Nor menyantuni penerima elaun sara hidup di (RPS) Kuala Betis, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) komited dan memberi kerjasama penuh kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkaitan isu haiwan liar yang bekeliaran di kawasan penempatan Orang Asli di sini.

Ketua Pengarah Jakoa Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, Jakoa sentiasa bersedia memberi bantuan atau sokongan kepada agensi yang terlibat termasuk menyediakan pengangkutan untuk masuk ke penempatan Orang Asli.

Menurutnya, kebanyakan kenderaan tidak sesuai untuk masuk ke kampung Orang Asli di kawasan pedalaman.

"Pegawai Jakoa tidak ada kepakaran atau senjata untuk menangkap harimau, tetapi kita ada kerjasama yang baik dengan Perhilitan.

"Kebiasaannya mereka mungkin tak ada kenderaan sesuai nak masuk. Jadi kita akan beri bantuan dan mereka juga akan masuk bersama pegawai Jakoa.

" Kita akan bawa bantuan makanan bersama untuk penduduk yang terjejas," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan elaun sara hidup kepada peserta ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) Kelapa Sawit dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Risda Plantation Sdn Bhd Mohamad Arif Ismail, Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi Jakoa Muhammad Abu Bakar dan Pengarah Jakoa Kelantan&Terengganu Zarina Razlan.

Menurut beliau, pihaknya juga mengharapkan kerjasama daripada Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) untuk melaporkan dengan segera sekiranya berlaku serangan terbaharu haiwan liar di kawasan kampung mereka.

Katanya, Jakoa mengambil maklum serangan dan kekerapan kemunculan haiwan liar di kawasan perkampungan dan Perhilitan juga sudah melaksanakan tugas mereka.

"Kita harap penduduk Orang Asli berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga mereka. Sebagai langkah jangka panjang, kami dalam proses memasukkan lampu-lampu solar untuk menerangkan kampung-kampung Orang Asli.

"Ini ada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jakoa bersama dengan Petronas dan kita dah senaraikan nama kampung di Kelantan.

"Sebelum ini kita sudah bangkitkan kepada pihak kementerian kerana lampu itu bukan kita nak memeriahkan kampung tetapi demi keselamatan penduduk termasuklah mengelak daripada ancaman haiwan liar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kemunculan Harimau Belang yang berkeliaran di kawasan perkampungan Orang Asli menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Penduduk di Kampung Tandrik, Pos Bihai dikatakan terpaksa berkurung seawal 6 petang kerana bimbang terserempak haiwan liar itu.

Selain Pos Bihai, harimau juga dilaporkan masih berkeliaran di Pos Pasik, Pos Belatim dan Pos Tohoi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 4:29 PM