Roselan Ab Malek

Bera: Inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan Program Perkhidmatan Pengajian Universiti Malaysia Untuk Masyarakat (SULAM) membuka ruang kepada lebih ramai anak masyarakat Orang Asli melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebagai permulaan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang memperhalusi program laluan khas kemasukan pelajar Orang Asli yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua usaha pemerkasaan dan pembelaan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama kerajaan bagi memastikan impian menyaksikan lebih ramai generasi muda Orang Asli dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Katanya, komitmen kerajaan adalah jelas seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan seterusnya pada (pembentangan) Bajet 2022.

"Usaha membela dan memperkasakan masyarakat Orang Asli akan diteruskan dan kita yakin satu hari nanti, kita dapat melihat lebih ramai anak Orang Asli berpeluang mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Walkabout Perdana Menteri Bersempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan JAKOA di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah.

Ismail Sabri beramah mesra bersama komuniti Orang Asli sempena Program Khidmat Komuniti Bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Ismail Sabri beramah mesra bersama komuniti Orang Asli sempena Program Khidmat Komuniti Bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Pada majlis sama, JAKOA melalui skim bantuan galakan pendidikan (SBGP) menyerahkan cek berjumlah RM90,840 kepada UPNM bagi menampung empat mahasiswa Orang Asli yang kini menyambung pelajaran di universiti berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memberi jaminan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Katanya, pelbagai bantuan diperkenalkan sebelum ini dan dihentikan, akan diteruskan dan ditambah baik.

"Kita juga akan memastikan sasaran menghantar sekurang-kurangnya 10 mahasiswa Orang Asli melanjutkan pengajian ke luar negara melalui (pembiayaan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) diteruskan.

"Sekarang JAKOA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dulu mereka (kerajaan Pakatan Harapan) letak di bawah pejabat Perdana Menteri, di bawah Kementerian Perpaduan dan kini kita pindahkan kepada KPLB untuk memudahkan proses (penyaluran) bantuan dan lebih fokus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 5:49 PM