Balqis Jazimah Zahari

Sungai Siput: Kerajaan negeri Perak meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri supaya lebih peka dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing memasuki perkampungan mereka ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, ini kerana keadaan itu boleh menimbulkan risiko wabak kepada penduduk di sesebuah perkampungan berkenaan tambahan pula jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sesiapa sahaja tidak kira dari Rusia atau dari mana-mana sekalipun, jika mereka didapati tidak patuh (SOP) maka kita boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

"Kita tidak tahu dia datang dari mana dan virus apa yang (berkemungkinan) dibawa, jadi kita berharap masyarakat Orang Asli melalui JAKOA atau Tok Batin peka dengan perkara ini.

"Suasana sekarang tidak mengizinkan individu tidak dikenali masuk ke dalam kampung dalam keadaan tidak patuh SOP, itu adalah kesalahan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, di sini, hari ini.

Saarani bercakap pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Saarani bercakap pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung isu seorang aktivis Rusia yang dilaporkan mengutip derma tanpa kebenaran dan menginap di Kampung Orang Asli Pos Woh di Tapah, bulan lalu.

Katanya, pihaknya menasihati mereka yang bertanggungjawab memantau kemasukan pengunjung khususnya orang luar ke perkampungan Orang Asli bagi sebarang penganjuran aktiviti atau progam.

Terdahulu, media melaporkan aktivis Rusia yang dilaporkan mengutip derma tanpa kebenaran dan menginap di Kampung Orang Asli Pos Woh di Tapah sudah meninggalkan perkampungan itu pada 14 Mac lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, aktivis berkenaan, Valeriya Ashtashova dan anak lelakinya keluar dari kampung itu selepas dinasihatkan oleh JAKOA.

JAKOA sebelum ini mengeluarkan surat kelulusan kepada Valeriya untuk menjalankan Program Kelas Bahasa Inggeris di perkampungan terbabit pada 14 Disember lalu.

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dipetik berkata, program terbabit bagaimanapun dibatalkan selepas JAKOA menerima maklumat bahawa aktivis berkenaan tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

Antara kesalahan itu ialah menyalahguna dewan untuk dijadikan tempat penginapan, membawa individu lain tinggal bersama tanpa kelulusan dan mengutip derma meskipun program dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 4:43 PM