Paya Linda Yahya


Gua Musang: Pertambahan peruntukan sebanyak RM28 juta untuk pembangunan sosio ekonomi masyarakat Orang Asli disambut baik komuniti berkenaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu, sebanyak RM333 juta diperuntukkan untuk pembangunan sosio ekonomi Orang Asli berbanding RM305 juta sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, pihaknya menyambut baik peruntukan disediakan kerajaan khususnya membabitkan tambahan peruntukan untuk Orang Asli.

Menurutnya, peruntukan itu merangkumi antaranya kemudahan ameniti sosial, program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup dan pembangunan di perkampungan Orang Asli.

"Kita akan lihat aspek infrastruktur, pembangunan ameniti sosial seperti naik taraf dewan, jalan perhubungan desa dan bantuan ekonomi bagi menambah pendapatan masyarakat Orang Asli.

"Selain itu, bantuan daripada aspek pertanian dan masalah bekalan air juga berada dalam bidang kuasa Jakoa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan Bakul Madani kepada masyarakat Orang Asli Galas oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, kira-kira 16,000 penduduk Orang Asli di daerah ini gembira dengan pengumuman dalam Belanjawan 2024 itu.

Katanya, ramai Orang Asli yang tinggal di pedalaman di negeri ini hidup ketinggalan dan tidak menikmati kemudahan asas berbanding masyarakat itu di negeri lain.

"Masalah utama dihadapi Orang Asli di pedalaman Kelantan ialah jalan perhubungan, air bersih, bekalan elektrik dan talian telekomunikasi.

"Saya berharap kerajaan akan lebih menumpukan Orang Asli di pedalaman daerah ini yang belum menikmati kemudahan seumpama itu. Kita sudah berada di tahun 2023, tetapi jurang kemudahan amat jauh berbanding penduduk kawasan bandar," katanya.

Ahmad Zahid (kiri) bersama pemimpin masyarakat Orang Asli di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. FOTO Paya Linda Yahya
Ahmad Zahid (kiri) bersama pemimpin masyarakat Orang Asli di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. FOTO Paya Linda Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 12:13 PM