Dr Zaliha Mustafa melawat pameran selepas merasmikan Healthcare Facility Management Conference 2023. FOTO BERNAMA
Dr Zaliha Mustafa melawat pameran selepas merasmikan Healthcare Facility Management Conference 2023. FOTO BERNAMA
Zanariah Abd Mutalib


Putrajaya: Sebanyak 91 daripada 436 klinik kesihatan daif di seluruh negara sudah dinaik taraf manakala selebihnya dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kerja baik pulih itu dilaksanakan kementeriannya secara berfasa bagi 1,200 klinik kesihatan daif yang sudah dikenal pasti di seluruh negara.

"Untuk tahun ini, kita kenal pasti 436 klinik daif yang akan dibaik pulih dan pada tahun depan, kita sasarkan lebih 300 klinik lagi.

"Kerja naik taraf ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan kos RM110 juta," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pengurusan Fasiliti Penjagaan Kesihatan (HcFM Confex) 2023, di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah klinik kesihatan daif yang paling banyak dikenal pasti adalah di Terengganu sebanyak 58 klinik, diikuti Negeri Sembilan 44 klinik dan Perak serta Pahang masing-masing 42 klinik.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Zaliha berkata, HcFM Confex 2023 dengan tema Pengurusan Fasiliti Penjagaan Kesihatan Mampan Melalui Teknologi dan Inovasi adalah platform yang sesuai untuk mengetengahkan keperluan inovasi menjurus kepada teknologi hijau, kecekapan tenaga dan daya tahan industri.

Katanya, ia selaras dengan usaha kementeriannya memperkukuhkan perkhidmatan sokongan hospital di Malaysia.

"Selain itu, sudah tiba masanya pentadbiran hospital dan penyedia perkhidmatan sokongan melihat kerjasama dalam amalan terbaik yang lebih mampan, hijau dan mengambil kira impak terhadap alam sekeliling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 1:04 PM