DR Zaliha ketika sesi perbahasan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat. FOTO Bernama
DR Zaliha ketika sesi perbahasan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 141 daripada 436 projek penambahbaikan klinik dan fasiliti kesihatan daif siap dilaksanakan setakat, September ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, bakinya, 295 projek lagi dalam fasa pelaksanaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

"Sehingga 5 September 2023, sebanyak 141 projek pembaikan klinik dan fasiliti daif di seluruh negara siap dilaksanakan manakala 295 projek lagi dalam fasa pelaksanaan.

"Bagi Sarawak, sebanyak 14 klinik daripada 36 klinik siap dibaiki dan dinaik taraf manakala sebanyak tiga klinik daripada 23 klinik disiapkan di Sabah.

"Selain itu, sembilan hospital di Sabah dan 11 hospital di Sarawak akan dinaik taraf perkhidmatan kepakarannya termasuk pemerkasaan bagi hospital berpakar sedia ada," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memulakan Kajian Jurang dan Penawaran Keperluan Fasiliti, Peralatan dan Sumber Manusia untuk kesihatan pada bulan ini yang dijangka siap pada November 2024.

"Kajian ini akan membantu KKM merancang keperluan sumber kesihatan di seluruh Malaysia dengan lebih tepat dan mencukupi bagi pembangunan fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia, berasaskan bukti keperluan penduduk pada masa kini dan akan datang," katanya.

Sebelum ini, KKM mengenal pasti 1,200 klinik kesihatan daif di seluruh negara.

Susulan itu, KKM melaksanakan kerja baik pulih secara berperingkat dengan tahun ini membabitkan 436 klinik diikuti lebih 300 tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 3:41 PM