Khairulmizan Yahya

Kuantan: Sebanyak 42 Klinik Kesihatan (KK) diklasifikasikan sebagai daif di Pahang bakal dinaik taraf membabitkan peruntukkan sebanyak RM12.901 juta.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sudah menyenaraikan klinik itu yang akan menjalani proses menaik taraf infrastruktur dan fasiliti.

"Kita sebenarnya telah ada perancangan untuk menaik taraf beberapa klinik. Hari ini saya ke KK Bukit Goh di sini, untuk melihat dan meninjau beberapa perkara di sini.

"Saya telah diberikan taklimat untuk melihat keperluan di klinik ini (Bukit Goh) disebabkan oleh kehadiran pesakit yang ramai. Kita memerlukan beberapa penambahan seperti ambulans yang baharu dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas tinjauan itu.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf klinik yang terbabit akan dilaksanakan pada tahun ini

"Perolehan sudah selesai, kita tunggu proses seterusnya dan kita akan mulakan segera," ujarnya.

DR Zaliha (tengah) bersama Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus ketika melawat Klinik Kesihatan Bukit Goh, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
DR Zaliha (tengah) bersama Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus ketika melawat Klinik Kesihatan Bukit Goh, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 8:32 PM