Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Lima klinik desa daif yang dinaik taraf sebagai klinik kesihatan Jenis 7 di Kelantan akan mula beroperasi pada 2 Julai ini.

Ia membabitkan Klinik Kesihatan Mata Ayer dan Klinik Kesihatan Kerilla, di sini; Klinik Kesihatan Karangan, Kuala Krai; Klinik Kesihatan Peria, Kuala Krai dan Klinik Kesihatan Sokor, Tanah Merah.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pembinaan kelima-lima klinik kesihatan diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan kos keseluruhan berjumlah RM32.05 juta.

"Pembinaan kesemua projek (klinik kesihatan) berkenaan bermula pada 2020 dan disiapkan pada awal tahun 2023.

"Kelima-lima klinik kesihatan ini adalah klinik desa berstatus daif yang dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan Jenis 7 dan bakal menawarkan perkhidmatan seperti ibu dan Anak, pesakit luar, rawatan kecemasan, Makmal Perubatan Asas dan Farmasi.

"Saya amat berharap pengoperasian kelima-lima klinik ini akan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Mata Ayer, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

KLINIK Kesihatan Mata Ayer yang dinaik taraf sebagai klinik kesihatan Jenis 7 di Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KLINIK Kesihatan Mata Ayer yang dinaik taraf sebagai klinik kesihatan Jenis 7 di Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, Dr Zaliha mengadakan lawatan ke beberapa klinik kesihatan di sini dan Kota Bharu bagi meninjau keadaan fasiliti semasa.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sebanyak 39 klinik daif di Kelantan akan dibaik pulih serta dinaik taraf dengan anggaran kos RM9.6 juta.

"Proses perolehan kontraktor bagi semua 39 klinik ini sudah dimulakan dan sebanyak empat projek sudah selesai melantik kontraktor.

"Manakala baki 35 klinik lagi dijangka akan selesai dalam masa terdekat dan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan dalam bulan ini," katanya.

Katanya, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan, pihaknya menubuhkan Pasukan Petugas Khas Projek Pembaikan Klinik dan Fasiliti Daif yang berperanan untuk memantau pelaksanaan projek ini di setiap negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 2:53 PM