DR Zaliha Mustafa. FOTO Bernama
DR Zaliha Mustafa. FOTO Bernama
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf 53 Klinik Kesihatan (KK) diklasifikasi sebagai daif di seluruh Terengganu membabitkan peruntukan kira-kira RM8.9 juta

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai klinik kesihatan itu dan kerja baik pulih serta dinaik taraf akan dilakukan secara berperingkat mulai tahun ini.

"Kerajaan Perpaduan memperuntukkan sebanyak RM72.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi projek pembangunan baharu fasiliti kesihatan di seluruh Terengganu tahun ini.

"Projek ini bakal meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri," katanya ketika berucap merasmikan Bilik Gerakan Utama (BGU), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan jentera pilihan raya peringkat Dewan Undangan negeri (DUN) Wakaf Mempelam, di Kampung Losong Feri, di sini, hari ini.

Dr Zaliha yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat, berkata kerajaan perpaduan sentiasa berusaha dan mengutamakan masalah kesihatan rakyat.

"Walaupun Terengganu diterajui pemimpin pembangkang, tetapi masalah fasaliti kesihatan sentiasa diberi keutamaan," katanya.

Mengenai Hospital Dungun, Dr Zaliha berkata hospital yang diklasifikasi sebagai projek sakit itu dijangka siap akhir Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:08 AM