GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan tujuh warga Indonesia yang cuba memasuki ke negara ini secara haram melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia berdekatan Biawak di daerah Lundu, kira-kira 100 kilometer dari sini, semalam.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) hari ini, kesemua mereka yang berusia antara 31 dan 46 tahun itu terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita ditahan dalam operasi Op Awas/Keris Parang, semalam.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki pasport atau pas kerja di Malaysia itu masuk secara haram melalui lorong tikus," katanya.

Sejumlah wang tunai, sebuah motosikal dan seunit telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai RM10,392 dirampas sebelum kesemua pendatang tanpa izin itu diusir balik melalui Pos Kawalan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) di Kumba Semunying.

"Laporan polis berkaitan pengusiran dibuat di Balai Polis Lundu," menurut kenyataan itu.

Operasi itu adalah sebahagian dari usaha berterusan TDM dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan pendatang tanpa izin dan mengelakkan berlakunya jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 11:29 AM