TDM gagalkan cubaan PATI rentas sempadan melalui jalan tikus. IHSAN MARKAS 1 DIV
TDM gagalkan cubaan PATI rentas sempadan melalui jalan tikus. IHSAN MARKAS 1 DIV
Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk seorang kanak-kanak ketika cuba masuk dan keluar melalui laluan tikus di sempadan dalam empat kejadian berasingan kelmarin hingga hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, kejadian pertama, berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Selasa lalu di Biawak dalam daerah Lundu, empat lelaki dan seorang wanita serta seorang kanak-kabak perempuan dikesan ketika cuba keluar dari negara ini menggunakan laluan tikus.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua Pati terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka kemudiannya diusir selepas laporan dibuat di Balai Polis Lundu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kedua kira-kira jam 10.15 malam juga Selasa lalu, enam Pati ditahan dengan tiga daripadanya menaiki pikap yang dipandu lelaki tempatan manakala tiga lagi ditahan ketika menaiki motosikal di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Kendaie, Lundu.

"Kesemua enam Pati dan seorang tekong darat dibawa ke Balai Polis Lundu untuk menjalani ujian swab Covid-19 dan tindakan selanjutnya," katanya.

Kira-kira jam 11.30 malam tadi, dua wanita dikesan dalam keadaan mencurigakan berjalan dari arah Malaysia di kawasan Tebedu, Serian.

Selepas ditahan dan disoal siasat, dua wanita itu mengakui datang dari Kuching dan menggunakan laluan tikus di sempadan untuk balik ke kampung mereka di Entikong, Kalimantan Barat.

Kejadian keempat berlaku di Biawak, Lundu pada jam 8.42 pagi hari ini apabila seorang lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di satu lorong sawit dari arah sempadan antarabangsa.

Selepas ditahan dan disoal siasat, Pati itu didapati menggunakan lorong tikus untuk balik ke Indonesia.

Katanya lagi, musim perayaan dan operasi besar-besaran membendung Pati menjadi antara punca laluan tikus menjadi pilihan untuk warga negara jiran itu balik ke negara asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:02 PM