MOHD Sopi turut menyampaikan sumbangan raya kepada anggota TNI-AD. FOTO Ihsan Tentera Darat
MOHD Sopi turut menyampaikan sumbangan raya kepada anggota TNI-AD. FOTO Ihsan Tentera Darat
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kesedihan anggota tentera yang tidak meraikan perayaan bersama keluarga di Aidilfitri hari ini sedikit terubat dengan kunjungan Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sopi Md Lepi di kawasan operasi.

Mohd Sopi meluangkan masa mengunjungi kawasan operasi Op Awas/Keris Parang di sempadan Malaysia-Indonesia yang berada dalam kawasan tanggung Briged Ketiga Infantri Malaysia.

Antara pos operasi yang dikunjunginya ialah Pos Gabungan Bersama (Gabma) Serikin, Pos Gabma Tebedu dan Markas Taktikal Balai Ringin.

Pos Gabma bukan sahaja menempatkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) malah sepasukan anggota Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) turut ditempatkan di pos berkenaan untuk melaksanakan operasi bersama.

Dalam kunjungan itu, Mohd Sopi diberikan taklimat ringkas pengoperasian daripada Ketua-Ketua Pos Operasi berkenaan.

Mohd Sopi dalam ucapannya mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi itu untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam tugasan yang diamanahkan.

"Semua lapisan anggota harus sentiasa bersikap profesional dalam menentukan tahap keselamatan dan kesiagaan di persempadanan negara sentiasa terjamin pada sebilang masa," katanya.

Turut serta dalam kunjungan itu, Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD), Brig Jen Mohd Athiyah Hasan; Ketua Staf 3 Briged, Lt Kol Ahmad

Halim Mohd Rosli dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Lt Kol Mohd Firdaus M Yatim serta pegawai-pegawai kanan MK PMTTD.

Beliau kemudiannya turut menyampaikan sumbangan beg raya kepada anggota TDM dan TNI-AD sebagai menghargai pengorbanan mereka yang sedang beroperasi di perbatasan.

Lebih bermakna lagi, dalam kunjungan iti beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat terhadap tujuh orang anggota lain-lain pangkat (LLP).

Lima daripada anggota terbabit menerima pemakaian pangkat di Markas Taktikal Balai Ringin manakala dua lagi di Pos Gabma Tebedu.

Ia pasti akan menjadi kenangan manis semua anggota terbabit kerana pemakaian pangkat mereka dijalankan di kawasan operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 8:15 PM