LELAKI tempatan yang ditahan ketika cuba menyeludup keluar sebuah kereta melalui sempadan ke Indonesia. FOTO MELVIN JONI
LELAKI tempatan yang ditahan ketika cuba menyeludup keluar sebuah kereta melalui sempadan ke Indonesia. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup keluar kereta untuk dijual ke negara jiran, Indonesia gagal apabila ditahan oleh pasukan tentera di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.10 malam tadi di kawasan Ladang Sawit Rimbunan, Pos Kandaie (50 meter dari sempadan Malaysia - Indonesia).

"Anggota seksyen yang sedang melaksanakan rondaan berkenderaan terserempak dengan sebuah

kenderaan jenis Proton Exora yang mencurigakan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu yang dipandu oleh seorang warga tempatan tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

"Kenderaan berkenaan juga dipercayai untuk diseludup keluar dan dijual di Indonesia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, nilai rampasan kenderaan berkenaan dianggarkan RM45,000.

Tambahnya lelaki berusia 28 tahun itu bersama kenderaan yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan lanjut.

Selain itu, anggota 1 Divisyen turut berjaya menggagalkan cubaan tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) masuk ke negeri ini, juga menerusi kawasan yang sama kira-kira jam 10.25 malam tadi.

Katanya hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati ketiga-tiga lelaki berusia 38 hingga 41 tahun itu adalah warganegara Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

"Tiada rampasan dibuat dan kesemua PATI terbabit diusir serta diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Pos Kumba Semunying," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 10:35 AM