Mohd Kamil (kanan) bercakap dengan anggota TNI-AD yang terbabit dalam Op Keris Parang Gabungan 2022 di Kem JPG Tebedu. FOTO IHSAN MARKAS 1 DIVISYEN INFANTRI
Mohd Kamil (kanan) bercakap dengan anggota TNI-AD yang terbabit dalam Op Keris Parang Gabungan 2022 di Kem JPG Tebedu. FOTO IHSAN MARKAS 1 DIVISYEN INFANTRI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Pos Gabungan Malaysia Indonesia (GABMA) yang ditangguhkan sejak awal 2020 akibat penularan virus Covid-19, diaktifkan semula hari ini menerusi Op Keris Parang Gabungan 2022.

Pos kawalan di sempadan itu menempatkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang melaksanakan operasi kawalan keselamatan bersama 24 jam.

Ia membabitkan rondaan berkenderaan, berjalan serta serang tangkap (SERKAP) bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.

Panglima 3 Briged Infantri Malaysia Brig Jen Mohd Kamil Abdul Latiff berkata, pengaktifan semula pos GABMA itu signifikan dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Menurutnya, Pos GABMA dengan tiga daripadanya di Malaysia iaitu Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak di Lundu; Kem JPG Tebedu di Serian dan Kem JPG Lubok Batu di Sri Aman, manakala di Indonesia pula ialah di Pos Nanga Badau, Pos Entikong dan Pos Sajingan dibuka semula dan menempatkan anggota dari kedua-dua pihak.

"Op Keris Parang Gabungan 2022 dilaksanakan dengan pertukaran trup antara TDM serta TNI-AD dan penempatan anggota dijalankan serentak di semua pos, hari ini.

"TNI-AD menghantar 10 anggota di di setiap pos di kawasan Malaysia, manakala TDM pula menghantar lapan anggota ke pos di kawasan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengaktifan semula Pos GABMA di Kem JPG Tebedu hari ini.

Hadir sama Pegawai Memerintah Batalion Infantri 645 Ghardatama TNI-AD LetKol Hudallah S.H; Pegawai Memerintah 4 Kor Armor Diraja (KAD) Leftenan Kolonel Mohamad Sazili Hussain dan Pegawai Perhubungan Tentera Malaysia (MMLO) di Pontianak Leftenan Kolonel Haizal Mohamad Ariffi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:45 PM