Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok, Mohamad Ezzat Zahrim Hanuzi, hadir sambil mendukung bayinya berusia lapan bulan sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, di sini, hari ini.

Mohamad Ezzat berkata, anak sulungnya, Muhammad Eyyad, adalah pembakar semangat untuknya terus berjuang kepada parti sekali gus memastikan agar dia mampu memenangi kerusi DUN Chetok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

"Saya berarak bersama penyokong membawa anak dan isteri, Nur Ayuni Amran, 28, yang menjadi tulang belakang utama perjuangan saya dalam dunia politik ini.

"Melihat wajah anak membuatkan saya lebih bersemangat untuk berjuang. Saya bukan sahaja mahu menjadi bapa yang terbaik malah sebagai pemimpin untuk membela nasib rakyat.

"Insya-Allah berkat doa isteri dan keluarga, saya akan berjuang sehabis baik untuk PRN kali ini," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, di sini, hari ini.

Mohamad Ezzat yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan) dari Universiti Melaka (UNIMEL), mengakui minatnya dalam bidang politik adalah sejak daripada bangku sekolah lagi.

"Saya dibesarkan dengan dunia politik memandangkan bapa, Mohd Hanuzi Zaharin, 62, juga aktif dan pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Tanah Merah.

"Sebelum ini saya pernah beberapa kali menolak tawaran bekerja demi memfokuskan kepada politik kerana impian saya adalah untuk berbakti kepada masyarakat," katanya.

Menurutnya, selain anak dan isteri, turut hadir bapa dan ibunya, Dayang Julia Awang Ibrahim, 63, yang datang memberi sokongan penuh untuk dia menjadi calon pada PRN ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 11:38 AM
MOHAMAD Ezzat mendukung bayinya, Muhammad Eyyad, berusia lapan bulan ketika berarak sebelum menyerah borang pencalonan di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
MOHAMAD Ezzat mendukung bayinya, Muhammad Eyyad, berusia lapan bulan ketika berarak sebelum menyerah borang pencalonan di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa