Mohamad Sabu ketika berceramah pada Majlis Ceramah Perpaduan Madani Pengenalan Calon di pekan Kuah, Langkawi, malam tadi. FOTO HAMZAH OSMAN
Mohamad Sabu ketika berceramah pada Majlis Ceramah Perpaduan Madani Pengenalan Calon di pekan Kuah, Langkawi, malam tadi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Hubungan politik antara Pas dan Bersatu dilihat sudah tidak sefahaman, seolah-olah retak menanti belah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurutnya, perkembangan mutakhir menyaksikan bibit perpecahan itu ketara, khususnya rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti berhubung pemilihan calon bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Mereka (Pas dan Bersatu) berkahwin, tapi perkahwinan itu jelas tidak boleh kekal lama kerana tiada lagi sefahaman menjelang PRN di enam negeri.

"Banyak tempat mereka tidak dapat selesaikan isu pemilihan calon," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Ceramah Perpaduan Madani Pengenalan Calon di sini, malam tadi.

Mohamad mengulas rasa kurang senang ahli Pas di Dun Ayer Hangat selepas kerusi itu yang dijanjikan untuk calon parti itu kini beralih kepada calon Bersatu.

Rasa ketidakpuasan hati ahli PAS itu telah diterjemahkan pada hari penamaan calon, Sabtu lalu apabila seorang ahli parti itu, Safwan Hanif Shafie bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dun berkenaan.

Perkara sama dilaporkan berlaku bagi Dun Kota Siputeh apabila sebahagian ahli Bersatu kawasan itu menolak pencalonan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir kerana didakwa bukan penduduk tempatan.

Mohamad menyifatkan hubungan dingin kedua-dua parti itu memberi kelebihan kepada calon mewakili Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) untuk memenangi PRN.

"Insya-Allah ada sinar menanti kepada calon-calon dan berkat kerja kuat jentera serta sokongan padu pengundi, PH-BN boleh rampas Kedah pada PRN, 12 Ogos ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 8:55 AM