Bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Langkawi Adnan Hasan (kiri) dan Ali Selamat (kanan)memuat naik gambar mereka bersama borang pencalonan dan kenyataan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam akaun Facebook masing-masing. FOTO Facebook
Bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Langkawi Adnan Hasan (kiri) dan Ali Selamat (kanan)memuat naik gambar mereka bersama borang pencalonan dan kenyataan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam akaun Facebook masing-masing. FOTO Facebook
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Enam belas borang pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N01 Ayer Hangat dan N02 Kuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dijual setakat jam 5 petang semalam.

Daripada jumlah itu, tujuh set borang penamaan calon dibeli oleh calon atau wakil mereka untuk bertanding di kerusi Dun Ayer Hangat, manakala sembilan bagi Dun Kuah.

Kesemua borang terbabit yang berharga RM20 setiap set dibeli di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi (PDTL) di sini.

Angka itu menunjukkan, kedua-dua kerusi itu bakal menyaksikan 'lambakan' calon Bebas, sekali gus mencatat sejarah tersendiri untuk PRN kali ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya N02 Kuah yang juga Pegawai Daerah Langkawi Datuk Abdul Gafar Yahya ketika dihubungi mengesahkan jumlah penjualan borang penamaan calon untuk PRN kali ini agak luar biasa.

"Sehingga petang semalam, jumlah penjualan borang adalah 16 dengan tujuh set borang dijual untuk Dun Ayer Hangat, sembilan lagi bagi Dun Kuah," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Langkawi Adnan Hasan, antara bakal calon secara terbuka mengaku membeli borang pencalonan di PDTL, pagi semalam.

Beliau memuat naik status pembelian borang itu di akaun Facebooknya berserta gambar dipercayai sejurus membuat pembelian dilakukan di PDTL, semalam.

Katanya, pembelian borang dibuat dua hari sebelum tarikh penamaan calon selepas membuat keputusan nekad untuk bertanding pada PRN kali ini.

"Saya akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dun Kuah kerana melihat rata-rata pengundi kini berubah emosi lebih menyokong kepada calon, berbanding parti.

"Saya mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan dalam kerjaya politik sebelum ini yang boleh dijadikan asas untuk berkhidmat kepada pengundi," katanya.

Seorang lagi bakal calon, Ali Selamat berkata, dia turut membeli borang pencalonan di PDTL pagi semalam, dan sudah siap mengisinya dengan lengkap, selain tidak sabar menanti tarikh penamaan calon esok.

Ali turut memuat naik gambarnya berserta kenyataan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi Dun Kuah di Facebooknya yang menggunakan nama 'Tok Pala'.

Esok adalah hari penamaan calon PRN, pengundian awal pada 8 Ogos dan hari pengundian pada 12 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 10:54 AM