ISHAK menunjukkan hasil kraftangan yang disiapkannya.
ISHAK menunjukkan hasil kraftangan yang disiapkannya.

Melaka: Jika masyarakat Baba dan Nyonya berbangga dengan mangkuk tingkat mereka yang berwarna hitam dan merah dihiasi motif naga atau burung cenderawasih, mangkuk tingkat dikenali Bakul Berkat yang dihasilkan Adiguru Kraf Ishak Kassim pula tidak kurang hebatnya daripada segi kehalusan anyaman daripada rotan.

Hasil air tangan lshak, 64, bukan sahaja dipamer dan dijual dalam serta luar negara, malah Bakul Berkat pelbagai saiz, lapisan, reka bentuk dan warna itu kini menjadi antara pilihan utama orang kenamaan termasuk istana dan kementerian untuk dijadikan tanda mata.

"Bakul Berkat ini hasil inovasi dan cetusan idea dari semasa ke semasa. Apa yang membezakan Bakul Berkat ini dengan yang lain ialah, ia menggunakan motif yang secara tulennya berasal dari Melaka dan Malaysia.

"Jadi, apabila pelancong atau sesiapa sahaja yang ingin membelinya, mereka akan tahu selain kualiti, produk tersebut (Bakul Berkat) membawa identiti asli Malaysia," katanya kepada Bernama.

Menurut Ishak, kehalusan, kemasan, kekuatan, saiz dan kombinasi warna produk yang dihasilkannya serta anak didik memberi perbezaan ketara kerana kemampuan menggabungkan pelbagai motif tradisional dan geometri kontemporari seperti motif pucuk rebung, siku keluang, mata punai, tulang belut, sisik ikan dan teknik jalinan satu, jalinan dua, jalinan tiga serta teknik kelarai.

Ishak berkata, Bakul Berkat itu dihasilkan dalam reka bentuk geometri iaitu bulat, bujur, segi tiga, segi empat, heksagon, oktagon serta bentuk D selain bentuk bijirin, kekacang dan nombor 8.

"Apa yang penting, semua motif yang saya hasilkan berasal dari Melaka dan Malaysia, yang diperoleh selepas melakukan pelbagai penyelidikan bertahun lamanya untuk membezakan motif seni anyaman rotan kita dengan negara luar," katanya.

Penerima Anugerah Naib Johan pertandingan bidang kraf anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) (Asia Pasifik) pada 2003 itu berkata, beliau mahu lebih ramai pelapis berkemahiran tinggi dalam kraf anyaman rotan dapat dilahirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 7:00 AM