LELAKI yang tular disyaki mencuri telefon bimbit di klinik, kini menjadi buruan polis.
LELAKI yang tular disyaki mencuri telefon bimbit di klinik, kini menjadi buruan polis.
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Polis mengesan lelaki yang disyaki mencuri telefon bimbit milik pekerja sebuah klinik swasta di Taman Prima Sri Gombak, Batu Caves di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis mengesan video tular yang memaparkan kejadian itu hari ini.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku pada 8.13 pagi semalam ketika pengadu yang juga wanita berusia 21 tahun sedang bertugas sebagai pembantu klinik.

"Pengadu menyedari telefon bimbit miliknya yang diletakkan di bahagian kaunter klinik hilang lalu membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Pengadu mendapati seorang lelaki masuk ke dalam klinik dan mengambil telefon bimbitnya menyebabkan kerugian RM500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, polis sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Azlan Mohd Jaafar di talian 017-3605063 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman CCTV berdurasi 36 saat menunjukkan seorang lelaki masuk ke dalam klinik dan mengambil telefon bimbit yang terletak di atas kaunter sebelum beredar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 5:38 PM