RAKAMAN CCTV yang tular menunjukkan suspek mengambil dompet mangsa.
RAKAMAN CCTV yang tular menunjukkan suspek mengambil dompet mangsa.
Mohd Sabran Md Sani


POLIS sedang memburu lelaki yang dirakam mencuri dompet pelanggan kedai serbaneka 24 jam di Taman Molek, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, tindakan memburu suspek itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis itu.

Beliau berkata, mangsa tertinggal dompet miliknya selepas membuat bayaran di kaunter pembayaran pada 9.50 malam.

"Pengadu yang sedar ketiadaan dompet bersamanya pada 11.30 malam pergi ke premis terbabit untuk mencari semula dompetnya.

"Hasil penelitian rakaman CCTV didapati seorang lelaki sudah mengambil dompet milik pengadu di kaunter pembayaran dan keluar dari premis itu selepas membuat pembelian," katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, dan boleh juga dikenakan denda," katanya.

Sehubungan kejadian ini pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mengenali suspek ini supaya dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Balai Polis berhampiran.

"Mereka juga boleh melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222," katanya.

Sementara itu kejadian membabitkan kecurian di kedai 24 jam berkenaan tular hari ini termasuk laporan polis dan rakaman CCTV mengenai kejadian itu.

Rakaman pendek itu memperlihatkan wajah lelaki itu yang botak berjalan berdekatan CCTV terbabit dengan berseluar pendek serta berbaju biru.

Dia dengan mencekak pinggang kemudian pergi ke arah dompet terbabit sebelum memgambilnya dan berlalu pergi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 11:05 PM