RAKAMAN video lelaki yang mendakwa diserang anggota polis bantuan di pintu masuk sebuah universiti. FOTO tular
RAKAMAN video lelaki yang mendakwa diserang anggota polis bantuan di pintu masuk sebuah universiti. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Tindakan seorang penuntut sebuah universiti tempatan, di sini, merakam video mendakwa dia 'diserang' di pintu masuk universiti oleh anggota polis bantuan wanita mengundang padah apabila ditahan semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis bantuan universiti itu selepas dia melihat rakaman videonya di kumpulan sembang Telegram.

"Dalam video itu, suspek berusia 22 tahun mendakwa pengadu menyerangnya di pintu masuk universiti jam 2 petang pada 31 Mac lalu ketika mahu memasuki kawasan universiti dengan alasan dijemput berjumpa rektor.

"Pengadu menafikan kejadian itu dan mendakwa apa yang berlaku sebenarnya adalah suspek meminjam telefon bimbitnya dan bercakap lama. Apabila diminta semula (telefon bimbit), suspek enggan memulangkannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, pengadu meminjamkan telefon bimbitnya kepada suspek kerana ketika itu dia menghubungi presiden pelajar untuk membuat semakan sama ada pihak universiti ada menjemput mana-mana pihak berjumpa dengan rektor.

"Pengadu dimaklumkan pihak universiti tidak menjemput mana-mana pihak berjumpa dengan rektor dan dia maklumkan kepada suspek, namun lelaki itu tidak berpuas hati sebelum anggota polis bantuan berkenaan menyerahkan telefon bimbitnya kepada suspek untuk bercakap sendiri dengan presiden pelajar.

"Pengadu mendakwa semasa dia sedang berusaha mengambil telefon bimbitnya daripada suspek, lelaki itu membuat rakaman video kejadian berkenaan. Ketika kejadian, pengadu dan anggota polis bantuan lain yang sedang bertugas tidak membuat tangkapan terhadap suspek.

"Ini kerana pihak pengurusan universiti sudah memberi arahan supaya tidak menyentuh mana-mana pelajar di dalam kawasan universiti," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan suspek di perkarangan dewan auditorium di sebuah universiti tempatan di daerah ini jam 4.40 petang semalam.

"Polis merampas telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk merakam video semasa kejadian.

"Hasil siasatan mendapati suspek adalah penuntut tahun tiga di universiti terbabit. Suspek bertindak merakam video semasa kejadian kerana bimbang tiada orang akan percaya bahawa pengadu menyerangnya," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian memuatnaik rakaman video itu ke kumpulan sembang Telegram untuk perkongsian dengan penuntut lain.

"Suspek sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan direman selama empat hari mulai hari ini hingga 6 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit 36 saat menunjukkan lelaki berkenaan merakam video dan mendakwa dirinya diserang anggota polis bantuan wanita di pintu masuk universiti berkenaan yang tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:28 PM