RAKAMAN CCTV menunjukkan  lelaki didakwa mencuri iPhone 13 Pro Max terpakai dari dua premis.
RAKAMAN CCTV menunjukkan lelaki didakwa mencuri iPhone 13 Pro Max terpakai dari dua premis.
Mary Victoria Dass


Kulai: Lelaki berbadan sado yang menggunakan pelbagai taktik sebelum melarikan telefon pintar Apple iPhone di beberapa premis di bandar raya ini akhirnya ditahan di pasar raya di Taman Sutera Utama, Skudai, 2 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, polis turut merampas telefon bimbit tiruan jenama Apple iPhone Pro Max daripada suspek, 24.

"Lelaki berkenaan juga dipercayai melarikan iPhone 14 Pro Max yang berharga RM7,350 pada 5.30 petang pada 9 Jun lalu di pusat beli-belah di Bandar Indahpura, Kulai.

"Pengadu mendakwa suspek ke kedai menjual telefon bimbit dan meyakinkan pengadu dengan membuat bayaran penuh sejumlah RM6,850 dan menunjukkan resit pembayaran dalam talian yang palsu.

"Pengadu bagaimanapun mengambil butiran nama dan nombor telefon suspek ketika urusan jual beli itu berlaku.

"Pengadu kemudian membuat laporan polis selepas semakan mendapati tiada transaksi bayaran yang diterima di akaun milik syarikat," katanya.

Yusof berkata, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod lampau jenayah berkaitan dan suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 14 Jun ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda," katanya menerusi siaran media, hari ini.

Sementara itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Ibrahim, 50, berkata, dia serta beberapa rakannya yang menjual gajet berasa lega apabila lelaki berkenaan ditahan polis.

"Kami menyalurkan maklumat kepada polis selepas kejadian berulang dan kami percaya ia membabitkan individu sama berikutan keadaan fizikalnya yang dirakam di kamera litar tertutup (CCTV).

"Pekerja rakan saya di Taman Sutera Utama yang menjadi mangsa menyatakan lelaki berkenaan memperdaya pekerjanya dengan menunjukkan resit pembayaran palsu, kelmarin.

"Namun dia terperangkap kerana keesokan harinya (semalam) selepas pembelian dia berani menghubungi pekerja sama untuk menukar telefon bimbit berkenaan kerana mendakwa isterinya tidak menggemari warga ungu.

"Lelaki itu membuat temujanji dan dia meletakkan telefon bimbit palsu atau klon dalam kotak untuk ditukar dengan yang lain namun taktiknya tidak berjaya," katanya ketika dihubungi.

Pada 2 Mei lalu, Harian Metro melaporkan kes kecurian telefon bimbit di Bandar Dato' Onn oleh lelaki berbadan sado berpura-pura menjadi pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 12:59 PM