Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Ipoh: Seorang nelayan kerugian RM284,850 apabila diperdaya 'kekasih'nya menerusi pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menerima laporan daripada lelaki berusia 27 tahun itu semalam.

Beliau berkata kejadian berlaku pada November lepas apabila mangsa dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.

Katanya suspek menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui aplikasi pada Januari dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.

"Akibat jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh wanita itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata mangsa membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 21 akaun bank dari 6 Mac hingga 15 Julai lepas menggunakan wang simpanan, meminjam daripada ahli keluarga, rakan dan majikan membabitkan kerugian RM284,850.

Menurutnya selepas mangsa kehabisan wang, suspek tetap meminta dia untuk terus melabur membuatkan lelaki itu meminta agar wangnya dikembalikan, namun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WeChat.

"Mangsa rasa tertipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan 'love scam' dan pelbagai program pelaburan tidak wujud.

"Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial, selain semak dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi dan hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 3:19 PM