Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO L MANIMARAN
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis menahan tiga lelaki membabitkan kes pengarah syarikat pengurusan yang kerugian akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan mata wang kripto CCGDS.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komerisal (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tiga suspek warga tempatan berusia lingkungan 35 hingga 55 tahun itu ditahan awal pagi hari ini di sekitar Lembah Klang serta Pahang.

"Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tipu pelaburan ini. Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency (USJC) sudah berjaya merampas matawang kripto berjumlah ASDT54,996.8 dengan nilai anggaran semasa adalah RM259,955.80

"Tangkapan susulan akan dilaksanakan untuk mengesan suspek yang masih bebas," katanya dalam sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Kata Ramli, laporan mengenai penipuan pelaburan itu diterima daripada seorang lelaki berusia 43 tahun pada 20 Disember tahun lalu, di mana mangsa mula mengenali seorang lelaki di sebuah restoran di pusat membeli-beli IOI Mall di Putrajaya.

Katanya, suspek itu mempelawa mangsa untuk melabur dalam projek matawang kripto di negara China dinamakan sebagai CCGDS dengan berjanji bahawa mangsa akan menerima 50 peratus keuntungan dari projek terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudiannya bersetuju serta mengumpulkan dana berjumlah AS$2,749,436 (RM12 juta) dari 20 pelabur termasuk empat pelabur dari China, dengan bayaran dana itu dibuat ke akaun dompet matawang kripto (wallet cryptocurrency) yang diberikan oleh suspek dan beberapa akaun bank tempatan.

"Pengadu (mangsa) membuat semakan pada 12 Oktober tahun lalu dan mendapati pelaburan itu sudah dipindahkan ke akaun 'wallet cryptocurrency' disyaki milik peribadi suspek. Pengadu rasa ditipu dan mengalami kerugian RM12 juta.

"USJC menjalankan analisis ke atas transaksi yang terbabit dan berjaya mengesan serta mengenalpasti suspek-suspek yang menerima matawang kripto terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 8:18 PM