Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Seorang pesara kerajaan serta isterinya hilang semua wang simpanan dan persaraan mereka berjumlah RM542,171.20 akibat terperdaya sindiket pelaburan kripto tidak wujud, sejak Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mangsa yang berusia 70 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak berhubung perkara itu pada jam 4.34 petang hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, Mohd Yusri berkata, mangsa berhubung dengan pemilik laman Facebook Najwan Islamic beralamat di Singapura yang menawarkan perkhidmatan pembelian saham mata wang kripto di Amerika Syarikat pada 8 Januari lalu.

"Pada 9 Januari lalu, mangsa memulakan pelaburan saham mata wang kripto berkenaan dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 dan mangsa memasukkan wang itu ke dalam satu akaun bank tempatan.

"Suspek menyatakan mangsa akan mendapat wang pelaburan semula sebanyak RM4,950 iaitu untung sebanyak RM4,500 dalam tempoh satu hari iaitu pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mohd Yusri berkata, suspek juga memberitahu mangsa sekiranya dia tidak mengeluarkan wang itu, keuntungan pelaburan akan semakin meningkat dari masa ke semasa.

"Pada 10 Januari 2023, mangsa menghubungi suspek semula untuk bertanyakan berkaitan wang pelaburan dan diberitahu sudah mempunyai keuntungan sebanyak RM18,500.

"Bagaimanapun, mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran kepada suspek bagi mendapatkan keseluruhan hasil pelaburannya.

"Bagi tempoh Januari hingga Julai 2023, mangsa membuat sebanyak 133 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam 39 akaun bank tempatan membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM542,171.20," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut juga, kedua-dua mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada hasil pelaburan iaitu simpanan dan wang persaraan mangsa serta isteri.

"Mangsa meminta dipulangkan semula wang tetapi suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi whatsapp.

"Mangsa yang berasa tertipu datang ke balai polis untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:56 AM