AYOB Khan pada sidang media selepas majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen Kejohanan World Police & Fire Games di Mess Pegawai Kanan Polis Bukit Aman. FOTO Saifullizan Tamadi
AYOB Khan pada sidang media selepas majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen Kejohanan World Police & Fire Games di Mess Pegawai Kanan Polis Bukit Aman. FOTO Saifullizan Tamadi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kumpulan pop rock The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Festival Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Jumaat lalu, pulang ke negara asal selepas enam jam melakukan persembahan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat dakwaan daripada beberapa pihak yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) lambat mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.

"Insiden ini berlaku pada 21 Julai pada jam 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pada jam 5.30 pagi.

"Jadi dalam tempoh enam jam saja mereka sudah berlepas pulang dan laporan polis pertama yang diterima adalah pada keesokan hari pada jam 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Ayob Khan merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman.

Beliau berkata, PDRM akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan.

"Kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali membabitkan kesalahan yang besar, kita akan berurusan dengan pihak UK.

"Saya yakin selepas ini Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) akan lebih berhati-hati," katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis sudah mengambil 13 keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan berkenaan.

"Enam keterangan diambil daripada pengadu, seorang penganjur dan enam Puspal. Setakat ini polis menerima 18 laporan, lapan daripadanya daripada kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil," katanya.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 1:34 PM