Young Syefura.
Young Syefura.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Bentong: Pempengaruh media sosial yang dipercayai terbabit kes gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman sudah dipanggil bagi memberi keterangan polis.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 21 tahun terbabit diminta hadir, Khamis ini.

"Siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada pegawai khas ahli parlimen itu pada 17 Julai lalu.

"Suspek akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada pagi 27 Julai ini untuk diambil keterangan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Young Syefura membuat dua laporan polis di IPD Bentong masing-masing berhubung kes penipuan dan gangguan seksual oleh seorang pempengaruh media sosial terhadapnya.

Young Syefura dilaporkan berkata, pempengaruh itu mengeluarkan kenyataan seksis dan berunsur lucah yang dianggapnya sebagai gangguan seksual dalam video yang dimuat naik ke akaun TikTok dan Instagram.

Dalam video yang dimuat naik, pempengaruh terbabit menyebut beberapa perkataan lucah berserta lenggok bahasa badan yang menyebabkan ahli parlimen itu tidak selesa.

Video itu kemudian tular dan dikongsi banyak pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 11:42 AM