YOUNG Syefura menyambut hari lahir di pantai di Sepang. FOTO Ihsan Pembaca.
YOUNG Syefura menyambut hari lahir di pantai di Sepang. FOTO Ihsan Pembaca.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sepang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman akan dipanggil sekali lagi untuk menyambung keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, individu berkenaan dijangka dipanggil petang ini atau selewat-lewatnya esok.

"Kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan dibuka selepas polis menerima dua laporan berkaitan kejadian itu.

"Malam tadi individu berkenaan sudah hadir untuk memberi keterangan bersama lima lagi rakannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarul berkata, setakat ini tiada kompaun dikeluarkan kerana polis sudah membuka kertas siasatan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Sebelum ini, Adun Dap itu memohon maaf selepas dikatakan melanggar SOP PKPB susulan satu gambarnya di Instagram yang menunjukkan beliau menyambut majlis ulang tahun kelahiran di satu lokasi di Selangor tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, gambar di Instagram beliau bersama empat rakannya yang mendapat kecaman netizen sejak kelmarin, sudah dipadamkan.

Young Syefura antara pemimpin yang lantang mengkritik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang dikatakan sengaja melanggar arahan kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Turki.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 1:17 PM